
KETOKOHAN dan sumbangan besar Ustazah Che Sham Othman dalam dunia dakwah, kebajikan serta pemerkasaan wanita Islam terus dikenang.
Beliau telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Alimat Kedah sempena Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah kali ke-52 tengah bulan lepas.
Dalam usia 71 tahun, beliau yang merupakan seorang ibu kepada lima anak, serta nenek kepada 16 orang cucu sebagai penyambung legasi kasih sayang dan ketabahan beliau, masih teguh berdiri di medan perjuangan.
Walaupun diuji dengan pemergian suami tercinta, Allahyarham Muhd Zaidi Daud, semangat dakwah dan kerja amal beliau tidak pernah surut, malah terus subur dalam pelbagai platform masyarakat.
Beliau memulakan kerjaya sebagai jururawat pada tahun 1976 dan pernah berkhidmat di Hospital Taiping, Hospital Langkawi dan Hospital Kulim sebelum memilih untuk bersara awal pada usia 40 tahun.
Pengalaman beliau diteruskan di pusat rawatan swasta seperti Pusat Rawatan Bersalin Muslimah di Permatang Pauh dan Pusat Rawatan Dr Aishah di Sungai Petani.
Beliau juga aktif dalam Biro Dakwah Kejururawatan Malaysia serta jaringan usrah bersama tokoh-tokoh pendakwah tanah air seperti Ustaz Othman Ibrahim, Hassan Ali, Badrul Amin dan Allahyarham Dato’ Hassan Din.
Di sinilah bermulanya perjuangan beliau dalam memartabatkan pemakaian patuh syariah untuk jururawat muslimah, Ustazah Che Sham menjadi antara individu terawal yang mencadangkan penambahbaikan uniform jururawat.
Beliau mencetuskan idea agar pakaian jururawat ditukar kepada tudung, baju labuh dan seluar yang lebih menutup aurat serta selesa, ia satu usaha berani yang kini menjadi amalan biasa di hospital-hospital negara.
Di samping kerjaya perubatan, Ustazah Che Sham turut dikenali sebagai aktivis masyarakat dan gerakan Islam yang komited, di mana beliau pernah memegang jawatan penting dalam Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak PAS Kawasan Padang Serai serta dilantik sebagai Ketua Muslimat PAS Cawangan Taman Sejahtera.
Penglibatan beliau dalam masjid dan surau termasuk sebagai ahli jawatankuasa Masjid Nurussaadah menjadikan beliau figura yang dihormati dalam kalangan masyarakat setempat.
Ustazah Che Sham juga aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), dan Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (PUSBA).
Ini memperlihatkan keprihatinan beliau terhadap pembangunan spiritual masyarakat termasuk golongan mualaf dan mereka yang kurang mendapat akses kepada pendidikan agama.
Peranan beliau tidak terhenti di situ, Ustazah Che Sham turut menyumbang ilmu sebagai tenaga pengajar di masjid dan surau di sekitar Kedah dan Pulau Pinang.
Malah, beliau pernah berkhidmat sebagai mutawif di bawah syarikat Juwara Travel dan Kembara Travel, membimbing jemaah umrah serta haji ke Tanah Suci.
Dengan pendekatan dakwah yang lembut dan penuh kasih sayang, beliau juga berjaya mengislamkan beberapa individu, satu pencapaian peribadi yang memberi makna mendalam dalam hidupnya sebagai pendakwah.
Ketokohan Ustazah Che Sham adalah lambang kekuatan seorang wanita Islam yang menjadikan agama sebagai teras hidupnya.
Beliau bukan sahaja mencorakkan perubahan dalam sistem, tetapi juga membina jiwa-jiwa manusia agar lebih dekat kepada Allah dengan hikmah dan kasih sayang. – HARAKAHDAILY 2/8/2025












