Lahirkan 1,000 usahawan bertaraf Abdul Rahman Auf

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pengerusi Eksekutif Kumpulan FCA Capital Sdn Bhd, Dr Mazlan Ahmad menegaskan bahawa Konvensyen Usahawan diadakan semata-mata untuk melahirkan seribu orang pewakaf bertaraf Abdul Rahman bin Auf, iaitu jutawan dunia dan ‘billionaire’ akhirat.

Beliau berkata, niat yang betul adalah asas utama dalam membangunkan perniagaan diberkati serta memberi manfaat kepada umat.

“Apa jua yang kita usahakan tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mendapatkan keredaan dan keberkatan daripada Yang Maha Esa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai pengucap utama ketika menyampaikan ucapan dalam Konvensyen Usahawan Seru 25 – Himpunan 1,000 Usahawan Ku-Haraki Malaysia di Lanai Asmara, di sini hari ini.

Menurutnya, apabila hidup dan perniagaan mendapat keberkatan, maka dunia akan berada di bawah tapak kaki, dan melahirkan perniagaan bertaraf bilion bukan lagi satu masalah.

Jelas beliau, rahsia untuk mencapai barakah dalam perniagaan bermula dengan membetulkan niat dan menyasarkan kekayaan bukan sekadar untuk kehidupan mewah, tetapi juga untuk berbakti.

“Yang pertama kita kena buat ayuh semua berniat ya Allah ya tuhan kami, jadikanlah kami yang berada di dalam dewan ini dan juga mereka yang melihat menonton secara langsung di Tiktok di Facebook.

“(Serta) mana-mana sosial media sebagai usahawan Ku Haraki yang mendapat barakah-Mu. Dengan ini sebahagian daripada usaha keberkatan perniagaan kami akan diwakafkan untuk membina masjid untuk arwah ibu.

“Sebahagian akan diwakafkan untuk membina madrasah untuk arwah ayah, arwah adik-beradik, anak-anak, saudara-mara jiran-jiran seluruh kaum muslimin dan muslimat untuk lahirkan wakaf universiti wakaf kompleks perniagaan, wakaf dan sebagainya,” jelas beliau.

Produk mendunia

Dr Mazlan juga menyarankan agar setiap hari usahawan mengamalkan bacaan Al-Fatihah sebanyak tujuh kali serta berniat untuk menjadi usahawan ‘rahmatan lil alamin’.

“Produk kita mestilah mendunia. Jangan hanya buat keropok untuk Losong, tapi untuk dunia. Kalau orang Melaka cencalok, belacan. Kelantan budu, bukan untuk Kelantan tapi untuk dunia.

“Sebab hari ini kita kena faham ‘rahmatan lil alamin’. Budu tak rahmah ke satu dunia? Siapa kata budu hanya untuk orang Kelantan dia tak sesuai untuk kita jenamakan sebagai produk dunia?

“Mana orang Kelantan? Boleh tak datuk kita membudukan dunia atau menduniakan budu? Tak saya memang bergurau, tapi itu ikhlas daripada hati saya.

“Apa juga produk kerepek ubi daripada kampung daripada Klang, dia kena ‘brand’ untuk dunia. Jadi hari ini produk kita walau sekecil mana pun niat dia untuk pasaran dunia.

“Kalau pasaran Terengganu, berapa ramai orang boleh pakai? Kalau pasaran Malaysia 34 juta. Kalau pasaran dunia tak jadi ‘billionaire’? Pasti. Sebab tu hati kena besar jiwa kena kuat,” terangnya lagi.

Beliau turut memberi contoh usaha memperluas penggunaan Dinar Emas Kelantan ke seluruh negara dan menjangkakan jualan boleh mencecah RM1 bilion tidak lama lagi.

Jangan abai teknologi

Mengulas aspek kedua, katanya usahawan mesti mengguna pakai teknologi terkini seperti ‘blockchain’, ‘big data’ dan automasi, serta tidak meminggirkan potensi sistem digital.

“Saya telah bentangkan kepada Tajdid Terengganu satu sistem pembayaran dengan kad dan sistem yang menjana pendapatan harian,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa teknologi bukan satu kesalahan, malah membolehkan umat Islam mencipta, bukan sekadar menjadi penonton kepada kemajuan.

“Teknologi, Allah tidak melarang kita pergi haji naik kapal terbang, tapi kalau ada masih memilih untuk menunaikan umrah haji naik kapal layar, silakan. Nak naik perahu silakan, tapi saya yakin di sini teknologi tidak salah.

“Jadi hari ini saya nak melahirkan Ku Haraki nak melahirkan usahawan yang bukan sahaja penonton tetapi pencipta teknologi.

“Kalau orang tengok kereta mewah sedap duduk, tapi kita nak lahirkan pencipta kereta mewah nak melahirkan pemandu kepada kereta mewah. Makna teknologi boleh insya-Allah,” tegasnya lagi.

Dr Mazlan turut berkongsi perancangan sebelum pandemik COVID-19 untuk mengadakan International Conference Digital di Kuala Terengganu dengan menampilkan tokoh teknologi antarabangsa termasuk Charles Lee, bagi pemindahan ilmu dan kepakaran.

Sebahagian besar punca rezeki

Mengenai aspek ketiga, beliau menegaskan bahawa sembilan daripada 10 rezeki datang daripada perniagaan dan menyeru agar umat Islam menanam keyakinan terhadap potensi keusahawanan dalam diri masing-masing.

“Kita sebenarnya dilahirkan lengkap dengan DNA usahawan. Tapi kita ditipu daya dimomokkan (bahawa) orang Melayu orang Islam tak ke mana kalau meniaga.

“Setuju orang kata orang Islam tidak hebat dalam perniagaan? Kita biasa diberitahu orang Cina bagus perniagaan orang Melayu jadi hamba abdi kuli makan gaji, tak betul,” dedahnya.

Beliau menyeru agar sejarah kegemilangan tamadun Melayu-Islam seperti Sungai Batu (Kedah) diangkat kembali dan dijadikan sebahagian silibus pendidikan untuk anak-anak tahfiz dan sekolah agama.

“Di Sungai Batu kita ada lebih daripada 2 juta relau. Relau ni tempat bakar besi, maknanya beratus tahun dahulu. Di tanah nusantara tamadun dunia tok nenek kita sangat hebat.

“Sebab itu kita melahirkan satu komiti kaunsel untuk mencungkilkan balik sejarah Sungai Batu agar anak-anak kenal DNA mereka sebagai pejuang dan usahawan hebat,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -