
STADIUM Darul Aman sekali lagi mencatat sejarah tersendiri apabila hampir 100,000 umat Islam dari seluruh pelosok negara membanjiri ruang stadium bagi menyertai program Kedah Berselawat 2.0 yang berlangsung penuh kemeriahan dan keberkatan malam tadi.
Program berskala besar anjuran Kerajaan Negeri Kedah ini dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, pimpinan agama dan kenamaan.
Program bermula jam 5 petang hingga 11 malam itu menampilkan tiga slot utama iaitu Himpunan Belia Sejahtera, Kedah Bermunajat dan Tazkirah serta kemuncaknya Kedah Berselawat 2.0 yang berjaya menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dengan agenda memperkukuh nilai keislaman dalam pembangunan ummah.
Tiga tokoh ulama tersohor menjadi tumpuan malam itu ialah Ustaz Mohammad Wadi Annuar Ayub menyampaikan kuliah Maghrib, Prof Dr Ustaz Abdul Somad Batubara dari Indonesia yang terkenal dengan pidato dakwah penuh hikmahnya, serta Ustaz Zamrul Idrus atau lebih dikenali Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang tidak asing lagi dalam menyampaikan tazkirah santai tetapi padat isi.


Mereka bergandingan menyampaikan tausiyah yang mengajak umat Islam memperkukuh keimanan, memperbanyakkan selawat serta kelebihannya.
Ketokohan mereka jelas memberikan impak apabila laungan selawat bergema memecah keheningan malam bersama ribuan hadirin yang tunduk khusyuk bersatu hati menghidupkan roh kecintaan kepada Rasulullah SAW.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha dakwah dan penyatuan umat, Muhammad Sanusi turut mengadakan sesi pertemuan mahabah petang sebelumnya bersama Dr Abdul Somad serta lebih 60 ulama pondok di Kedah bertempat di Seri Mentaloon.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat; Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Kedah, Syeikh Aminuddin Abd Rahim; Timbalan Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah, Syeikh Mohamad Rodi Abdul Rahman dan Dato’ Tuan Guru Abdullah Lebai Samah.
Kehadiran pemimpin kerajaan negeri ke medan rakyat serta sokongan kepada para ulama memperlihatkan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam memartabatkan Islam sebagai tonggak pembangunan negeri.
Slot pembuka program dimulakan dengan Himpunan Belia Sejahtera yang berlangsung sejak jam 4.30 petang.
Ribuan belia hadir awal untuk mendengar perkongsian daripada para pendakwah muda antaranya Ustaz Yaakub Yusra, Ustaz Firdaus Firabib, Ustaz Ahmad Yusof dan Ustaz Aiman Nasir.
Turut hadir memeriahkan sesi ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Md Din; ADUN Gurun, Baddrol Bakhtiar; ADUN Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari serta Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya.
Himpunan ini bukan sahaja menyemarakkan nilai kebersamaan belia, malah menjadi medan pembinaan jati diri generasi muda berlandaskan prinsip Islam yang syumul.

Sebagai usaha memudahkan pengunjung yang hadir dari seluruh negara, pihak penganjur menyediakan perkhidmatan bas ‘shuttle’ percuma dari beberapa lokasi strategik di sekitar bandar Alor Setar.
Dua laluan utama Laluan Hijau dan Laluan Biru beroperasi dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam, menjadikan perjalanan masuk dan keluar dari Stadium Darul Aman lancar dan teratur.
Kemudahan ini ternyata dihargai para pengunjung yang memuji usaha Kerajaan Negeri Kedah dalam menjadikan penganjuran berskala besar seperti ini lebih mesra rakyat dan inklusif.
Program yang menggabungkan unsur dakwah, hiburan rohani dan pertemuan ulama-umara’ ini membuktikan bahawa negeri Kedah bukan sahaja mendahului dari sudut pentadbiran Islamik, tetapi juga berjaya menterjemahkan aspirasi “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua” dalam bentuk tindakan nyata.
Kemuncak malam itu diselubungi suasana penuh kesyahduan apabila hadirin bersama para ulama berdiri dan berselawat beramai-ramai di bawah limpahan cahaya stadium yang diterangi lampu dan pancaran telefon bimbit para pengunjung.
Kemeriahan ini bukan sahaja menghidupkan Jumaat malam yang mulia, bahkan menjadi saksi bahawa Islam terus hidup subur di hati rakyat Kedah. – HARAKAHDAILY 2/8/2025












