POT2025: Pendidikan bukan sekadar dalam kelas

- Advertisement -

KANGAR: Pendidikan tidak seharusnya terikat pada tembok bilik darjah semata-mata, demikian intipati titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan merasmikan Program Perlis Online Tuition (POT2025) di Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di sini, hari ini.

- Advertisement -

Menurut Baginda, pendekatan inovatif seperti POT2025 yang menggabungkan rakaman pengajaran guru cemerlang, siaran langsung menerusi YouTube serta interaksi pelajar secara masa nyata melalui Google Meet mampu membuka ruang pembelajaran lebih fleksibel, dinamik dan merakyat.

“Usaha ini bukan sekadar program tambahan, tetapi satu strategi besar dalam meningkatkan pencapaian pelajar dan kualiti sekolah. Saya berharap agar Perlis Online Tuition ini terus menjadi kebanggaan negeri Perlis.

“(Juga) mampu melahirkan lebih ramai pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik, tetapi memiliki nilai karamah insaniah yang tinggi, berjiwa besar dan menjadi rakyat bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan,” titah baginda.

Berangkat bersama menyerikan majlis, Raja Puan Muda, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dengan baginda berdua disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri, Rose Aza Che Ariffin.

Juga Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), Datuk Johari Mohd Darus da  Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Rakyat, Nor Aeiza Hassan serta Ketua Pegawai Eksekutif Smart Aider, Tunku Rizal Shah Tunku Muzaffar Shah.

POT2025 yang mula dilaksanakan sejak 24 April lalu hingga 5 September ini disiarkan secara langsung setiap malam jam 8.30 menerusi YouTube rasmi SSTP JPN Perlis di mana sehingga 1 Ogos, sebanyak 75 sesi pengajaran telah berjaya dilangsungkan merangkumi subjek teras dan elektif.

Menurut Pengarah Pendidikan Negeri, sambutan pelajar terhadap POT amat memberangsangkan, dengan jumlah tontonan mencecah hampir 20,000 kali.

“Menariknya, siaran langsung waktu malam melalui Google Meet beri ruang kepada pelajar berinteraksi secara terus dengan guru. Malah, ada sekolah ambil inisiatif adakan tontonan berkumpulan bagi pelajar yang perlu bimbingan lebih fokus,” kata beliau.

Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan pendidikan negeri, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian program POT 2025 serta menyaksikan penyerahan replika cek bernilai RM10,000 oleh Pengarah Urusan Smart Aider Sdn Bhd, Ng Chee Loong kepada YTSP Perlis.

Turut diserahkan ialah Arm Robot kepada Jabatan Pendidikan Negeri sebagai sokongan kepada agenda pendidikan berasaskan teknologi dan STEM.

POT2025 adalah manifestasi sinergi antara kerajaan, institusi pendidikan, pihak swasta dan rakyat dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan bersedia menghadapi cabaran masa depan, tepat dengan semangat Perlis sebagai negeri kecil berjiwa besar. – HARAKAHDAILY 2/8/2025

- Advertisement -