
BESUT: Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, golongan alim dan pemimpin dalam perjuangan Islam perlu berani menegakkan kebenaran, termasuk menegur pemerintah yang zalim.
Beliau berkata, jihad bukan semata-mata bermaksud peperangan, sebaliknya merangkumi pengorbanan diri, harta dan kedudukan demi menegakkan Islam.
“Jihad berasal daripada perkataan al-jahdu (kesusahan) dan al-juhdu (pengorbanan). Ia bukan hanya angkat senjata tapi termasuk sanggup lawan dengan hujah.
“Jihad paling afdal berani bercakap benar menghadapi kerajaan yang salah, ini jihad yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taujihat di Ijtima’ Kepimpinan PAS Negeri Terengganu 2025 bertemakan Teguh Memimpin Terengganu di Kota Putera Square, Kampung Raja, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Majlis, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Ijtimak, Dato’ Dr Alias Abdul Razak, serta Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat.
Juga Setiausaha PAS Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ketua Ulamak PAS Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman serta Ketua Muslimat PAS Terengganu, Zarani Osman; serta Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Muhammad Hamdi Dato’ Harun.
Turut sama Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman selaku juga merupakan Timbalan Pengarah Ijtimak Kepimpinan PAS Terengganu 2025.
Tuan Guru turut menegur sikap segelintir pihak lebih berani menegur sesama sendiri, tetapi takut berhadapan dengan musuh Islam.
“Kita kena berani hadapi musuh Islam, bukan hanya berani dengan kawan. Lawan sesama sendiri tapi dengan musuh Islam, jadi penakut. Ini salah,” ujarnya.
Beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap segelintir pemimpin dan tokoh agama yang menurutnya terlalu selesa dengan kuasa hingga sanggup mendiamkan diri terhadap kezaliman, malah ada menjadi pengampu kepada pemerintah.
“Jangan takut untuk berkata benar. Kalau tak menang pilihan raya, jadi ahli Parlimen pembangkang pun tetap boleh menyampaikan kebenaran sama ada melalui ucapan, khutbah atau kuliah.
“Malangnya ada yang takut nak menegakkan kebenaran, akhirnya jadi pengampu. Bila golongan alim melihat kemungkaran tetapi diam, orang awam pun akan menyangka perkara itu betul kerana ‘tok guru pun tak kata apa’,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2025











