PAS kini diterima golongan profesional, ilmuan

Tuan Guru (tengah) ketika melancarkan Program Ijtima’ PAS Negeri Terengganu 2025, di Kota Putera Square, Kampung Raja, Besut.
- Advertisement -

BESUT: Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, parti itu kini semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan profesional dan ilmuan pelbagai bidang, termasuk mereka yang pernah menuntut di Barat dan Eropah.

- Advertisement -

Menurut beliau, perkembangan ini menunjukkan perubahan ketara apabila semakin ramai cendekiawan kembali menyokong perjuangan Islam setelah menyedari kelemahan ideologi ciptaan manusia.

“Dulu orang anggap PAS tiada orang profesional, tiada orang cerdik, hanya tok guru sahaja. Tapi hakikatnya, hari ini perubahan sedang berlaku pelbagai kalangan menyertai PAS bukan sahaja ulama, tetapi juga profesional dan ilmuan dalam pelbagai lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taujihat di Ijtima’ Kepimpinan PAS Negeri Terengganu 2025 bertemakan “Teguh Memimpin Terengganu” di Kota Putera Square, Kampung Raja, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, serta Pengarah Ijtimak, Dato’ Dr Alias Abdul Razak dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat.

Juga Setiausaha PAS Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ketua Ulamak PAS Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman serta Ketua Muslimat PAS Terengganu, Zarani Osman; dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Muhammad Hamdi Dato’ Harun.

Turut sama Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman yang juga merupakan Timbalan Pengarah Ijtimak Kepimpinan PAS Terengganu 2025.

Tuan Guru turut menempelak pihak yang memperlekeh perjuangan PAS dan menyifatkan penyokongnya sebagai ‘bodoh’, sedangkan mereka benar-benar memahami ajaran Islam tidak akan mudah terpengaruh dengan cercaan sedemikian.

“Mereka kata orang ikut PAS ni bodoh, tak apalah. Kita tak takut pada celaan orang yang mencela. Dalam al-Quran Allah sudah nyatakan, hidayah itu kurniaan Allah, Allah beri kepada siapa yang dia kehendaki. Orang tak dapat petunjuk Allah dia tak ikut perjuangan Islam,” jelasnya.

Tuan Guru selaku juga Penasihat PAS Negeri Terengganu turut menyindir segelintir individu yang menurutnya hanya bersama perjuangan Islam untuk seketika tetapi akhirnya ‘panas punggung’, lompat parti dan dipecat kerana tidak mampu istiqamah.

“Ada yang ikut sekejap saja, lepas tu lari buat perangai. Hanya mereka yang dipilih oleh Allah SWT akan kekal istiqamah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 2/8/2025

- Advertisement -