
BESUT: PAS Terengganu mengadakan Ijtima’ Kepimpinan PAS Terengganu 2025 bagi memperkukuhkan struktur dan kesiapsiagaan jentera parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung tahun hadapan.
Pengarah program, Dato’ Dr Alias Abdul Razak berkata, himpunan itu mengumpulkan para petugas dan kepimpinan PAS dari seluruh negeri dengan matlamat menyelaras gerak kerja serta memperkukuh semangat dan tanggungjawab yang telah ditaklifkan kepada setiap individu dalam parti.
“Kita sebagai pemimpin di peringkat masing-masing telah ditentukan tugasan mengikut pangkalan dan jawatan yang diamanahkan oleh jemaah kepada kita semua. Oleh itu, setiap tanggungjawab yang dipikul adalah sama penting.
“Tidak kira apa jawatan yang kita ditaklifkan, semuanya mempunyai nilai dan peranan tersendiri. Ibarat sebuah bangunan, walaupun hanya debu simen, tanpanya batu-bata tidak akan dapat diikat dengan kukuh.
“Begitu juga kita walaupun hanya penyokong biasa yang memasang bendera dan banting tanpa kehadiran dan sumbangan kita, sesuatu perhimpunan tidak akan ceria dan bermakna.
“Maka kita perlu menyedari bahawa setiap seorang daripada kita adalah penting dan setiap tugas yang diberikan merupakan satu amanah yang wajib kita sempurnakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ijtima’ Kepimpinan PAS Negeri Terengganu bertemakan “Teguh Memimpin Terengganu” di Kota Putera Square, Kampung Raja, di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, antara objektif utama perhimpunan tersebut ialah untuk memperkukuh kepimpinan dan gerak kerja jentera pilihan raya serta mempertahankan kemenangan 40-0 yang dicapai pada PRU15.
“Kita mahu pertahankan kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dan lapan kerusi Parlimen yang dimenangi dan kita menyeru menetapkan sasaran kita supaya akan menambah lebih banyak lagi majoritinya. Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2025











