
SAYA menyambut baik kenyataan tegas oleh YB Menteri Luar Malaysia terhadap kekejaman berterusan rejim Zionis Israel di Gaza. Namun, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia jangan sekali kali tunduk kepada tekanan antarabangsa – termasuk kuasa-kuasa besar Barat – yang mahu menyamakan HAMAS sebagai ‘kumpulan pengganas’. Naratif ini adalah palsu, selektif, dan berniat untuk menghancurkan satu-satunya benteng pertahanan rakyat Palestin di Gaza.
HAMAS bukan pengganas, tetapi pembela tanah air
HAMAS ialah gerakan pembebasan yang sah, ditubuhkan hasil daripada penindasan dan penjajahan ke atas rakyat Palestin selama lebih 75 tahun. Ia muncul daripada aspirasi rakyat Palestin untuk mempertahankan diri, tanah air dan maruah mereka daripada penjajahan haram. Pengiktirafan bahawa hanya ‘Kerajaan FATAH’ di Tebing Barat sebagai wakil Palestin adalah satu tindakan menafikan realiti politik dan ketenteraan di Gaza.
Hak menentang penjajahan diiktiraf Undang-Undang Antarabangsa
Menurut Resolusi PBB 37/43 (1982) dan Resolusi 3246 (1974), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf hak semua rakyat yang dijajah untuk menentang penjajahan melalui semua cara, termasuk perjuangan bersenjata. Ini termasuk perjuangan oleh rakyat Palestin terhadap penjajahan Israel.
“Reaffirms the legitimacy of the struggle of peoples for independence, territorial integrity, national unity and liberation from colonial and foreign domination and foreign occupation by all available means, particularly armed struggle.” (UNGA Resolution 37/43, 1982)
Naratif ‘keganasan’ disusun oleh kuasa penjajah
Pihak yang mahu HAMAS dilabel sebagai pengganas sering menutup mata terhadap keganasan sistematik Israel: pembunuhan beramai-ramai, sekatan makanan, pemboman hospital dan sekolah, serta penggunaan bom fosforus terhadap orang awam. Malangnya, ada negara Islam yang terpengaruh dengan naratif Barat dan kini cuba menyisih HAMAS daripada penyelesaian Palestin.
Malaysia mesti tegas dan tidak menjadi ejen naratif Barat
Sebagai negara Islam yang berprinsip, Malaysia mesti berani menegaskan pendiriannya:
• HAMAS adalah benteng terakhir rakyat Palestin di Gaza.
• Membubarkan atau menghapuskan HAMAS bererti membiarkan Gaza ditelan sepenuhnya oleh rejim Israel.
• Malaysia tidak harus menjadi alat kepada naratif ‘perdamaian dua negara’ yang menguntungkan penjajah dan menekan pejuang pembebasan.
Tuntutan dan pendirian saya:
1. Kerajaan Malaysia mesti menolak sebarang tekanan antarabangsa untuk mengisytiharkan HAMAS sebagai organisasi pengganas.
2. Malaysia mesti menyokong prinsip undang-undang antarabangsa yang mengiktiraf perjuangan bersenjata menentang penjajahan sebagai sah dan berperlembagaan.
3. Diplomasi Malaysia di PBB mesti membawa suara pembelaan terhadap HAMAS sebagai gerakan pembebasan dan bukan musuh perdamaian.
4. Kerajaan Malaysia mesti menyokong usaha penyatuan dalaman Palestin tanpa mencampuri pilihan rakyat Gaza yang memilih HAMAS sebagai pemerintah sejak 2006.
Saya bersama seluruh warga Malaysia dan masyarakat antarabangsa akan terus bersolidariti dengan perjuangan umat di Gaza Palestin, tidak akan berdiam diri melihat dunia bersekongkol membungkam perjuangan rakyat Palestin.
AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik, Kedah Malaysia
Ahli International Parliamentarians for Al Quds
Ahli Jawatankuasa Lujnah Antarabangsa PAS Pusat
Ahli Kaukaus Palestin Parlimen Malaysia
2 Ogos 2025 – HARAKAHDAILY 2/8/2025











