
BULAN Ogos ini cukup dua tahun PAS Terengganu sejak ogos 2023, bagi penggal kedua. Era tamkin yang pastinya menjadikan organisasi PAS semakin berkembang serta berdepan dengan pelbagai cabaran luar jangka. Bagi memantapkan organisasi PAS di pelbagai peringkat parti, Badan Perhubungan PAS Terengganu menganjurkan Ijtima’ Kepimpinan 2025 di Kota Putera Square, Besut.
Program berskala mega ini menghimpunkan 7,000 pimpinan PAS di semua peringkat bertujuan memugar semangat, merimbunkan ukhuwah serta merapatkan jurang antara semua lapisan kepimpinan. Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam acara perasmian telah mengingatkan peserta-peserta tentang kewajiban bersama jamaah Islam untuk menegakkan deenullah, dakwah mestilah bersendikan Islam yang syumul dan kuasa politik Islam adalah penting untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.
Tuan Guru yang juga merupakan Penasihat PAS Terengganu mengingatkan khalayak tentang kesatuan umat Islam untuk menghadapi musuh dan memperkukuh perjuangan. Acara Ijtima’ juga menyaksikan pelbagai anugerah tokoh jasa dikenang kepada amilin PAS Terengganu, juga Kawasan yang cemerlang menerima keahlian baru seperti Kemaman, Kuala Nerus.
Terengganu adalah tanah subur perjuangan Islam, ceramah, kuliah, forum perdana, himpunan amilin adalah seperti irama yang mengasyikkan dan khabar gembira daripada rakyat negeri Terengganu. Ribuan penuntut ilmu setiap minggu berhimpun di Kampung Rusila, Medan ilmu Jerteh dan lain-lain lokasi negeri ini. Pengkuliah yang tersohor dan berilmu akan menambah gula dalam senyuman rakyat Terengganu bak teh panas yang dimakan dengan nasi dagang.
Negeri jantung hati muslim negara ini merupakan wilayah pengaruh PAS kedua yang terkuat selepas Kelantan. Dalam tiga Pilihan Raya Umum , PAS merengkuh kekuasaan di negeri penyu bertelur ini iaitu pada tahun 1959,1999 dan 2018, manakala dalam pilihan raya tahun 1969 dan 2013 hanya berselisih dua kerusi untuk memerintah negeri Tok Ku Paloh ini.
Pastilah pendokong PAS Terengganu mahukan PAS terus menjadi kerajaan serta membangunkan negeri ini dengan acuan Islam dan syariatnya. Dedikasi serta kerja keras berkeringat perlu dilipat kali gandakan untuk menggapai impian ini.
Terengganu mula menubuhkan cawangan PAS yang pertama di Dungun pada tahun 1956, di mana daerah agrarian ini mempunyai tokoh-tokoh ulama tempatan seperti Tuan Guru Haji Zainal Abidin, Ustaz Umar Shukri Embong dan lain-lain lagi. Pengaruh PAS dengan mudah berkembang di tanah kelahiran Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Haji Umar Siam, Tok Ku Pulau Manis dan Tok Ku Paloh ini apabila guru-guru agama memainkan peranan menyebarkan pengaruh PAS melalui jaringan pendidikan Islam pondok serta madrasah agama.
Inilah justifikasi yang disebut oleh Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam ucapan pra perasmian Ijtima’ pagi ini, rasional Besut adalah kubu PAS dalam dekad 1950-an. Kekuatan jihad pendidikan adalah parallel dengan kejituan PAS, maka Presiden PAS yang ketiga iaitu Dr Burhanuddin al-Helmy diletakkan bertanding di Parlimen Besut.
Dengan latarbelakang semaraknya pendidikan Islam melalui sekolah pondok dan sekolah agama rakyat di Terengganu inilah, maka PAS menjadikan negeri ini kubu mereka. Dalam Pilihan Raya 1959, PAS Pusat telah meletakkan ramai tokoh-tokoh nasional bertanding di negeri ini. Antaranya ialah Dr Burhanuddin al-Helmy, Hasan Adli, Khadijah Sidek telah memenangi kerusi Parlimen.
Pimpinan PAS Terengganu pasca era Kepimpinan Ulamak (pasca 1982) telah memberikan perhatian besar kepada pemberdayaan institusi pendidikan Islam. Maka Badan Perhubungan PAS Terengganu menubuhkan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985 dan juga KUDQI. Dewan Ulamak PAS Terengganu sehingga zaman milineal dengan kerjasama PAS Kawasan, juga Dewan Ulamak kawasan telah menubuhkan jaringan sekolah rendah Islam di seluruh Terengganu seperti Darul Taqwa, Darul Bayan, Darul Ehsan, Darul Iman, Darul Falah, SRIDAR an-Nur, SRIDAF, dan lain-lain. Dewan Pemuda PAS pula mengoperasikan jaringan PASTI di seluruh Terengganu sehingga pendidikan prasekolah ini menjadi fenomenal.
Kegiatan jihad pendidikan di Terengganu juga disuburkan oleh pelbagai pihak persendirian serta pimpinan PAS, malah fenomena kemunculan maahad-maahad tahfiz seperti cendawan di musim hujan. Terengganu pasca 9 Mei 2018 menyaksikan kesuburan majlis-majlis ilmu dengan mendadak, ramai asatizah dan selebriti agama memilih Terengganu untuk berprogram. Masjid di seluruh Terengganu seperti berlumba-lumba mengadakan pelbagai program keilmuan serta pentauliahan skala besar kepada para pendakwah. Ini digalakkan oleh Kerajaan PAS Terengganu, juga melalui penubuhan IMIT-S serta pelbagai gerakan swadaya untuk memajukan jihad pendidikan.
Orang Terengganu secara umumnya cinta kepada agama dan meletakkan PAS sebagai benteng pertahanan Islam, rasional inilah Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad mengingatkan agar pimpinan dan amilin PAS agar banyak bermuhasabah dan jangan memandang rendah kepada keupayaan intelektual pengundi.
Pimpinan PAS di semua peringkat wajib melengkapkan pakej kompetensi kepimpinan, menguasai ilmu untuk menerapkan nuansa perjuangan dalam setiap elemen pentadbiran. Insya-Allah, Terengganu akan teguh memimpin dalam PRU16, maka prasyarat kemenangan wajib dipenuhi oleh semua amilin PAS Terengganu.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh – HARAKAHDAILY 2/8/2025











