Sokong pendekatan bersepadu tangani pencemaran sungai

- Advertisement -

PERTUBUHAN Sukarelawan Rakyat Cintai Sungai Malaysia (Wira Sungai) menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang kini menjalankan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), seperti dilaporkan dalam Dewan Rakyat pada 29 Julai 2025.

Kami menyambut baik pendekatan bersepadu yang digariskan oleh beliau melibatkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menangani pencemaran sungai yang semakin membimbangkan.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Menteri, punca pencemaran sungai bukan sekadar dari industri berat, malah turut merangkumi sektor lain seperti perbandaran, penternakan, pertanian, pasar basah, gerai makanan, dobi, pusat cucian kereta dan IKS yang tidak memiliki sistem rawatan efluen atau kumbahan sempurna. Kenyataan ini sangat bertepatan dengan dapatan lapangan yang kami sendiri hadapi saban tahun di pelbagai sungai utama negara.

- Advertisement -

Kami juga menyokong tindakan tegas Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui:

● Penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974,

● Pelaksanaan denda sehingga RM10 juta serta penjara mandatori terhadap pesalah berulang,

● Pengeluaran Perintah Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dan penggantungan lesen operasi,

● Pendakwaan di mahkamah ke atas syarikat yang terbukti menyebabkan pencemaran.

Sebagai NGO yang aktif dalam advokasi dan pendidikan alam sekitar, kami menyarankan agar tindakan penguatkuasaan ini disertai dengan strategi pencegahan, termasuk:

● Peningkatan kesedaran komuniti dan pengusaha IKS,

● Penyaluran insentif untuk pemasangan sistem rawatan efluen kecil (DEWATS),

● Penyelarasan pelan tindakan sungai rentas agensi dan negeri,

● Pemantauan sungai secara digital terbuka yang membolehkan rakyat turut serta dalam penjagaan sumber air.

Wira Sungai bersedia bekerjasama rapat dengan kementerian, JAS dan pihak berkuasa tempatan untuk menjayakan pelan tindakan bersepadu ini. Kami yakin dengan iltizam politik, tindakan penguatkuasaan yang konsisten, dan penglibatan akar umbi, kita mampu mengembalikan maruah sungai-sungai kita sebagai sumber kehidupan dan khazanah negara.

“Selamatkan Sungai, Selamatkan Generasi.”

ZIKRULLAH ISMAIL
Pengerusi
Wira Sungai Malaysia – HARAKAHDAILY 2/8/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -