Gejala pelajar liar bukan logos simulasi

Foto hiasan.
- Advertisement -

KOSA kata liar dalam bahasa Melayu ertinya tidak jinak, buas, tidak dijaga dan terbiar terutamanya merujuk kepada haiwan seperti harimau liar, rusa liar dan tumbuhan pula yang bebas dan tumbuh alamiah di hutan seperti rumput liar, pokok liar dan sebagainya.

- Advertisement -

Manakala liar pada keadaan dan tingkah laku manusia sinonimnya tidak teratur, tidak terkawal, atau tidak menuruti peraturan termasuk penipu atau pembohong kerana mereka gemar bercakap bohong dan tingkah laku atau disiplin buruk.

Gejala liar dalam institusi pendidikan wujud sekian lama tetapi tidak dikemukakan massa kerana perhitungan manual fail meja. Kini ledakan teknologi media maklumat pantas dan cepat kepada khalayak. Isu pelajar sekolah tingkatan dua, lelaki, 14 tahun menumbuk dan mengugut guru di sebuah sekolah di Kajang bukan lagi liar, isu buli dan disiplin tegar tetapi membabit kes jenayah kerana aksi kekerasan yang mendatang kecederaan kepada mangsa.

Sumber diperoleh di media bahawa mangsa, iaitu guru berkenaan hanya membantu guru lain untuk menangani pelajar ponteng kelas. Koreksi pengalaman dan status guru berkenaan tidak didedah kerana persoalan yang mesti dinyah dan ditamatkan berkaitan pelajar liar dan tahap pedagogi disiplin di sekolah.

Sekolah berkenaan dalam radar masalah disiplin parah kerana segelintir pelajar terlalu nakal dan kurang adab. Meskipun guru disiplin dibenarkan memegang rotan tetapi dilarang merotan pelajar sekadar gimik dalam sketsa Mak Yong di Pantai Timur.

Pelajar yang agak keras dan agresif perlu disalur mengikut upaya diri terutama sukan lasak seperti ragbi, lumba kuda dan Fighter Ring. Ini kerana maruah diri dan berkat dari guru perlu dididik untuk melahirkan generasi Anak Malaysia yang berbudi dan beradab. Apa-apaan yang berlaku anak sendiri yang akan mewarna wajah ibu bapa kelak.

Reaksi Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan melangkau pihak polis dalam menjalankan siasatan terhadap seorang pelajar itu perlu dilihat dari aspek punca kuasa masing-masing. Kemenjadian pelajar hasil produk guru didahulukan adab berguru sebagai insan kompeten pelbagai bidang bukan status sebagai petinggi dan pemuka di pelbagai organisasi, jabatan dan institusi negara.

Sistem yang terarah kepada pelajar bermaruah dan jati diri bukan kosmetik di dalam dokumen tetapi amalan di lapangan perlu signifikan di sekolah. Dekad generasi depan sebagai pewaris mempunyai jati diri, beradab, akhlak mulia, saling menghormati dan mengenang budi seperti negara Jepun yang menjaga kebersihan suatu etos nilai.

Amalan salam

Pelajar sekolah mesti dididik amalan salam dan sapaan yang mulia apabila bertutur dan bertegur sapa apalagi kepada tetamu yang berkunjung ke sekolah seperti sapaan rasmi “encik atau tuan bukan pak cik atau uncle” dan salam seperti “selamat sejahtera atau assalamualaikum”.

Tahun 2000-an, penulis sebagai guru di sekolah rendah hingga tingkatan enam atau prauniversiti dulu menghadapi pahit maung ragam pelbagai disiplin buruk tegar dalam kalangan pelajar dari lewah masuk kelas dan tidak siap latihan kerja rumah hingga ponteng kelas dan sekolah, merokok, mengganggu pelajar wanita, vandalisme, buli, cabar dan ugut guru hingga surat layan kepada penguasa jabatan pendidikan.

Pengalaman atas peristiwa menegur pelajar rambut panjang dan seluar ketat tidak dilupakan apabila pelajar berkenaan bertindak menconteng kereta guru, begitu juga motivasi atas kesalahan tidak menyiapkan dan menyerah latihan atau lembaran kerja sekolah hingga mencabut kabel palam pencucuh dan memotong getah kabel minyak motor di samping menulis surat layan konon mendenda ketuk ketapi 1,000 kali.

Ini antara pengalaman getir menangani ragam pelajar liar hingga di pusat pengajian tinggi mereka beza usia tetapi masih membawa perangai buruk seperti melengah-lengah penyerahan tugasan kursus, memplagiat kerja kursus, hadir lambat ke kuliah, gemar menghabis waktu di kafetaria, kurang sertai aktiviti pembinaan modal insan aspek kepimpinan, komunikasi, keusahawanan dan kurang fokus pengajian kerana populariti di medsos seperti Instagram, TikTok dan sebagainya.

Malahan tenaga akademik yang berketrampilan dan dedikasi sering dinilai rendah dalam penilaian kursus akhir semester oleh pelajar. Logiknya manusia berakal dan norma tidak menerima teguran atas kesilapan dan kesalahan tetapi normalisasi hal buruk seperti fitnah dan bohong akan merosakkan nilai.

Tambahan mereka seolah diberi kalkulator menanda skala tertentu kepada tenaga pengajar kursus. Ini bukan instrument dan tool yang konstruktif dan afektif tetapi logos simulasi yang mematikan kerana dipercayai wujud unsur dendam dan tidak adil kepada tenaga akademik sekali gus menjadi merit dalam Laporan Nilai Prestasi Tahunan (LPNT).

Parameter ini tiada asas pembinaan domain afektif kerana penggarapan nilai menjadi perhitungan angka dan gred terutama mereka yang mendahulukan etos amanah, telus dan tanggungjawab kemenjadian insaniah tetapi angka tinggi kepada mereka yang bermain wayang hidup. Kementerian Pengajian Tinggi perlu meneliti institusi berkenaan agar prinsip kebolehpasaran graduan menepati piawaian dan kompeten modal insan bukan angka dan gred tetapi tiada keesahan dan hilang kredibiliti.

Alam pendidikan penuh cabaran dan ujian kerana asas mendidik dan menjadi guru sekolah perlu mendapat kelayakan iktisad. Kurikulum pendidikan di institusi perguruan sama ada di kolej maktab perguruan atau di universiti sudah lengkap namun perlu digarap selaras edaran waktu.

Pengurusan disiplin

Pedagogi pengajaran sudah merangkul semua elemen domain kognitif, afektif dan psikomotor serta psikometrik. Penambahbaikan pada kurikulum pedagogi pengurusan disiplin mesti diapung agar guru yang terlibat dalam kerangka kualiti dan cekap untuk mengelak risiko apabila berdepan dengan situasi pelajar liar.

Tenaga pengajar khusus guru dan pentadbir pendidikan tidak terlalu terpukau pada kurikulum subjek semata-mata tetapi pembinaan generasi sebagai pewaris manual dan nilai negara. Dalam Kurikulum Standard Sekolah telah digaris set nilai-nilai dan iltizam pendidikan malah kurikulum Pendidikan Islam dan Moral telah lengkap, rapi dan signifikan. Namun tingkah laku jelik dan keras segelintir pelajar masih tidak ditangani malah dibiarkan hanya menafikan misi kemenjadian insan dalam melahirkan generasi dan keberhasilan produk sekolah mendepani era kecerdasan buatan (AI).

Dakwaan struktur sistem di sekolah terarah banyak masa luar pedagogi pengajaran, iaitu pendokumentasian segala macam borang, rekod dan laporan ke pengkalan data sistem ‘online’. Memang pelaporan dan dokumentasian suatu indikator kepada petinggi di kementerian dan pihak berkenaan tetapi prinsip mendahulukan tugas hakiki mengajar di kelas atau di atas talian tidak dikesampingkan kerana sebagai manusia manual kerja minda tidak sama set manual robot yang berpunca kecerdasan minda dipindah kepada mesin bekerja atas terandunan masa tidak terhad.

Guru pelaksana tanggungjawab hakiki mengajar di kelas, menyemak tugasan pelajar, mendidik akhlak dan adab, mengurus tadbir hal ehwal pelajar, kurikulum dan kokurikulum bukan tugas luar manual meja seperti guru terpacak menyambut murid di pintu pagar. Ia bukan etos nilai kecuali popular dan dibanggakan hanya tugas ironi tetapi murid tidak peduli jauh sekali penjaga atau ibu bapa hanya merai tetamu politik sahaja.

Beban kerja di sekolah bukan lagi luahan perasaan guru tetapi realiti kerana penulis kerap ke sekolah atas tugasan penyeliaan guru pelatih. Meskipun ada bakal guru yang menjalani praktikum kurang motivasi, ketahanan diri dan emosi tetapi penyeliaan signifikan membimbing dan memfokus pada pelaksanaan modal insan, iaitu adab, akhlak dan nilai mulia sebagai etos kemanusiaan.

Sementara dari sudut hukuman pula guru dilarang merotan pelajar. Penulis tidak menyokongnya atas sebab mungkin berlaku salah guna amalan merotan kecuali pihak punca kuasa seperti pengetua atau memperturun kuasa kepada guru lain. Prinsip pendidikan tentang hukuman perlu berpegang pada ajaran Islam kerana hukuman bukan mencederakan atau mendera tetapi proses pendidikan.

Dalam hal ini pelajar yang kerap melakukan kesalahan disiplin disyorkan menjalani hukuman sosial seperti tahanan di asrama atau sekolah dalam tempoh berjeda, khidmat sosial seperti suci tandas sekolah atau surau dan pembersihan lokasi termasuk padang sekolah. Ibu bapa juga perlu diberi teladan ikut serta dalam khidmat sosial di sekolah termasuk surcaj tunai apabila membabitkan material sekolah.

Kerajaan tidak perlu ragu dan bimbang untuk melaksanakan perubahan dalam sistem pendidikan sekolah. Meskipun terdapat kumpulan NGO membantah perlu dilihat suatu yang normal dalam negara yang legaliti demokrasi tetapi prinsip dan formula yang baik bukan lahir hitungan politik sebaliknya dari menara ilmu kerana peribahasa Melayu ‘kalau tak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya’.

Malahan era 80-an dan 90-an guru mendidik dengan penuh integriti dan dedikasi. Meskipun merotan, menampar dengan tangan atau objek, menendang dan sebagainya kerana kesalahan sendiri. Segelintir ibu bapa pula mempunyai sikap kebersamaan dalam proses mendidik anak-anak. Mereka mengenakan denda berganda apabila anak-anak mengadu kepada ibu bapa tentang hukuman oleh guru seperti tidak memberi makan atau wang saku malah memberi rotan kepada guru agar merotannya jika mereka melakukan kesalahan berulang tetapi kini kes rotan, sapaan dan lisan yang jelik menyebabkan guru disaman ibu bapa.

Oleh itu, gejala liar dan salah laku pelajar bukan citra canvas dan logos simulasi tetapi sistem pendidikan negara mesti melahirkan masyarakat budiman dan patriotisme yang tinggi kerana dunia global semakin menghakis jati diri dan merosakkan masyarakat jika abai kerangka sistem nilai strategik.

DR ZULKEFLEE YAACOB
Psikososio@Pakar Penasihat Wanita Kelantan – HARAKAHDAILY 2/8/2025

- Advertisement -