
TAWAU: Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, berkata banyak parti yang muncul atas nama ‘Sabah for Sabahan’ telah lenyap dari persada politik negeri.
Menurutnya, sedangkan PN tampil dengan pendekatan Sabahan For Malaysia untuk memperjuangkan hak Sabah dalam kerangka negara yang adil dan bersatu.
“Sabah for Sabahan, kita setuju secara prinsipnya tetapi sudah banyak parti yang tumbuh dengan teras Sabah tetapi sudah hilang dari radar Sabah,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian dalam program Jelajah Rakyat Perikatan Nasional di Taman Megah Jaya di sini, malam tadi.
Dr Aliakbar turut mengkritik ahli politik bermusim yang hanya muncul ketika pilihan raya dan sekadar berlakon simpati terhadap penderitaan rakyat.
“Kita tak mahu pelakon politik. Kita mahu pemimpin yang benar-benar bekerja dan hidup bersama rakyat,” tegasnya lagi.
Tegasnya, PN kekal dengan prinsip yang teguh untuk terus membawa keadilan kepada rakyat.
“Kita bawa semangat baru untuk negeri Sabah, kita PN akan membawa prinsip keadilan dan menjauh dari kezaliman,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.
Beliau juga menyifatkan kehadiran ribuan rakyat pada siri jelajah itu membuktikan PN semakin diterima sebagai wadah masa depan rakyat negeri ini.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menzahirkan penghargaan terhadap kepelbagaian masyarakat Sabah.
Menurutnya, situasi itu menjadi contoh terbaik kepada perpaduan nasional.
“Kita akan mendampingi rakyat Sabah dengan pendekatan harmoni dan mesej Islam yang adil serta terbuka, demi kebajikan semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2025











