
ALLAHYARHAM Ustaz Abd Rahim Fakeh Salleh mungkin tidak segah tokoh politik arus perdana, namun sumbangan dan jasanya terhadap perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), khususnya di negeri Perlis, tetap kekal terpahat dalam sejarah gerakan Islam tanah air.
Sebagai antara sahabat kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, Allahyarham dikenang sebagai tokoh akar umbi yang banyak mencorakkan hala tuju perjuangan PAS di utara tanah air, khususnya di Behor Temak, Kangar.
“Ustaz Hashim muda lagi daripada ayah saya. Waktu ayah sakit, ustaz selalu mai rumah. Ayah meninggal pun Ayahanda Ustaz Hashim yang mengimamkan solat jenazah,” cerita Mohd Husnain Abd Rahim, anak kepada Allahyarham.
Perjalanan perjuangan politik Allahyarham bermula seawal tahun 1962 apabila beliau tersenarai sebagai Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Perlis bersama Tuan Guru yang ketika itu masih muda.
Namun, Tuan Guru Hashim tidak menamatkan penggalnya sebagai pimpinan Pemuda setelah dihantar melanjutkan pelajaran ke Iraq bersama dua lagi tokoh ulama, Almarhum Dato’ Hassan Shukri dan Almarhum Dato’ Daud Iraqi pada tahun 1963, dengan pembiayaan penuh PAS Pusat.
Allahyarham terus memainkan peranan dalam kepimpinan PAS Perlis dari awal 60-an sehingga penghujung 80-an.


“Dalam tempoh ini, ayah menjadi wakil calon dan pencadang untuk beberapa calon PAS dalam pilihan raya umum, termasuk tahun 1978 untuk Ismail Baba (DUN Bintong), tahun 1982 untuk Shuib Muhammad (DUN Bintong), tahun 1986 untuk Abdul Razak (DUN Indera Kayangan) dan tahun 1995 untuk Aziz Shariff bagi Parlimen Kangar serta Ustaz Kamaruddin Mat Akib bagi DUN Kayang.
“Tahun 1990an arwah kurang aktif di peringkat negeri dan hanya aktif di peringkat cawangan dan kawasan Kangar sebab dilantik menjadi Imam Masjid Al-A’la Behor Temak dari tahun 1990 sehingga tahun 2000,” kata Mohd Husnain.
Malah, pada tahun 1999 ketika majlis memperkenalkan calon-calon PAS bagi Pilihan Raya Umum diadakan di Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiah (MADI), Allahyarham yang ketika itu sudah uzur masih hadir memberikan sokongan.
Sepanjang dekad 70-an hingga 90-an, rumah Allahyarham menjadi tumpuan pelbagai tokoh PAS dan pembangkang dari seluruh negara.

Ayahandanya dikenali sebagai ‘warlord’ di peringkat kawasan; individu wajib ditemui oleh sesiapa yang mahu menjadi calon pilihan raya di Parlimen Kangar dan DUN-DUN di bawahnya.
“Antara yang pernah datang berunding atau berbincang termasuk Ustaz Ahmad Long, Ayahanda Pak Ya Baginda, Ayahanda Lebai Jusoh Santan, Ayahanda Ustaz Othman Ghazali, Ayahanda Bakri Hashim, dan calon wanita dari Parti Semangat 46,” katanya lagi.
Behor Temak tidak asing dalam sejarah PAS Perlis
Di kala pejabat Perhubungan PAS Negeri belum mempunyai premis tetap, cawangan Behor Temak telah memiliki bangunan sendiri hasil usaha Allahyarham dan keluarganya bersama sokongan ahli cawangan.
Pada era 60-an, kepimpinan PAS Pusat yang berkunjung ke Perlis akan menjadikan bangunan itu sebagai tempat penginapan sebelum memulakan program jelajah dan dakwah.
Allahyarham juga dikenang sebagai Setiausaha PAS Cawangan Behor Temak sejak penubuhannya hingga bersara pada tahun 1999 akibat masalah kesihatan.


Beliau turut mengasaskan PASTI Behor Temak yang kini dikenali sebagai PASTI As-Solehin, dinamakan sempena nama datuknya, Fakeh Salleh Abdullah.
Bagi Mohd Husnain, mengenang ayahnya bukan sekadar mengenang seorang bapa, tetapi seorang murabbi perjuangan.
“Ayah menyokong PAS sejak muda. Beliau bukan sahaja menjadi tulang belakang kepada jentera, tetapi juga pembina institusi, perunding, dan penghubung antara kepimpinan Pusat dengan akar umbi,” katanya lagi.
Kejayaan PAS Perlis hari ini jelasnya, bukan hasil kerja sehari dua tetapi dibina di atas pengorbanan insan-insan seperti Allahyarham yang terus istiqamah berbakti tanpa mengira pangkat dan ganjaran.
Peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah politik negara, termasuk kebangkitan era Reformasi pasca 2 September 1998, menyaksikan Allahyarham terus aktif di peringkat kawasan, memainkan peranan menyusun jentera dan menyantuni masyarakat sekitar.
Walau tanpa nama besar di kaca televisyen, jasa Allahyarham Ustaz Abd Rahim Fakeh Salleh tetap besar dalam lipatan sejarah PAS dan politik Islam di Perlis. – HARAKAHDAILY 2/8/2025














