
KUBANG PASU: Bermula dengan bantuan zakat berjumlah RM300 pada tahun 2019, Abu Bakar Mohammad Ehiya, atau lebih mesra dikenali sebagai Mamu, kini berjaya mengusahakan produk pertanian dikenali sebagai Tanah Campuran 5 dalam 1 cap JAWS.
Berbekalkan semangat kental dan pengalaman bertanam sendiri, Mamu yang kini berusia 50 tahun memanfaatkan bantuan awal tersebut untuk menghasilkan tanah campuran berbaja berkualiti tinggi khusus untuk tanaman.
Tanpa latar belakang akademik dalam bidang pertanian, beliau memanfaatkan peluang menghadiri beberapa kursus anjuran Jabatan Pertanian untuk menimba ilmu demi memperkemas penghasilan produk tanahnya.
“Saya hanya belajar sehingga peringkat Sijil Rendah Pelajaran (SRP), dulu saya berniaga di pasar raya, tapi saya beralih arah kepada bidang ini kerana minat dan permintaan yang semakin meningkat,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Produk tanah campuran ini dijual pada harga RM15 untuk setiap beg seberat 15 kilogram dan mengandungi lima komponen utama iaitu top soil, sekam, baja organik, penggalak akar dan mikroorganisma.
Katanya, gabungan ini terbukti mampu memberikan nutrisi lengkap kepada pelbagai jenis tanaman, menjadikannya pilihan popular di kalangan pekebun dan peminat tanaman di negeri Kedah dan Perlis.
Walaupun tidak mempunyai kebun sendiri, Mamu turut menawarkan perkhidmatan merawat pokok buah-buahan yang mengalami masalah tumbesaran di dusun pelanggan.
Usahanya yang teliti dan hasil produk berkualiti tinggi menjadikan tanah keluarannya mendapat sambutan memberangsangkan.
Pasaran bagi produk ini lebih tertumpu di kawasan utara tanah air, khususnya Kedah dan Perlis, namun bergantung kepada tempahan dan permintaan individu yang berminat.
Kisah menarik beliau turut menjadi perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah menyatakan minat untuk mendapatkan tanah campuran tersebut bagi projek tanaman sendiri di rumah.
“Yang Berhormat (YB), saya nak hadiahkan tanah campuran padu,” kata Mamu dalam satu pertemuan santai bersama pemimpin tersebut yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Pelawaan itu mendapat reaksi positif daripada wakil rakyat terbabit yang menyambut baik inisiatif itu sebagai satu sokongan kepada produk tempatan. – HARAKAHDAILY 2/8/2025











