Mengenang setahun kesyahidan Ismail Haniyeh

- Advertisement -

“AL-QUDS, kami akan datang dengan jutaan syuhada. Al-Quds adalah ibu kota Palestin. Kami tidak mengiktiraf Israel…tidak mengiktiraf pengisytiharan Trump…biar kepala kami terpisah daripada jasad, al-Quds adalah segala-galanya” jerkah Sheikh Ismail Haniyeh dengan kobaran api semangat perlawanan.

- Advertisement -

Segalanya menjadi memori indah yang terpahat dalam ingatan warga Gaza, bersahutan menggema dengan laungan takbir, sahut menyahut lautan manusia ratusan ribu yang menyambut ulangtahun ke 30 pergerakan HAMAS, lapan tahun lepas.

Sheikh Ismail Haniyeh memanaskan podium ceramah dengan penuh semangat dan respon bergemuruh daripada khalayak yang hadir. Himpunan ini sangat bersejarah kerana kurang daripada seminggu, Ismail Haniyeh mengumumkan intifada ketiga umat Islam Palestin terhadap penjajah Israel.

Sosok utama HAMAS ini memberikan nyawanya kepada Deenullah dan  pertiwi, bukan semata menjadi orator yang menyalakan api semangat. Gaza diserang oleh tentera Zionis sejak Oktober 2023 dengan tembakan jauh, seterusnya gerakan infantri yang memusnahkan bumi Gaza. Operasi Taufan Al Aqsa yang juga telah membunuh lebih 63,000 rakyat Gaza dan mencederakan ratusan ribu yang lain.

Manakala umat Islam diseluruh dunia telah bangkit menyuarakan bantahan kepada Trump dan Zionis dalam isu pembantaian dan genosida di bumi Gaza, kecuali umat Islam yang ditindas suara rejim negara Teluk (baca: menjadi barua Amerika dan Zionis).

Dalam tempoh hampir dua tahun ini pelbagai peristiwa telah berlaku, berawal daripada usaha membebaskan Al-Quds, kematian figura-figura besar gerakan, sama ada di Gaza, Lubnan serta Iran. Dua negara terlibat sama dan perang ini, Iran dan Lubnan manakala ‘non-state actor’ yang terlibat seperti Hizbullah, HAMAS, Ansorullah memberikan pukulan kepada Zionis, bahkan kepada Amerika.

Terkini 17 negara umat Islam bersepakat, juga negara EU untuk mendesak agar HAMAS melucutkan senjata serta menyerahkan wewenang kuasanya di Gaza.

Siapakah HAMAS sehingga digeruni oleh puak kuffar dan munafik seluruh belahan dunia saat ini? Dalam tahun-tahun 60-an dan 70-an perjuangan menentang penjajahan Israel lebih terarah kepada kelompok Sosialis dan Kebangsaan Arab yang sempit.

Lihat sahaja PLO yang tak bertaring tajam dalam menyeru pembebasan tanah suci umat Islam. Ternyata ideologi Barat ini tidak mampu untuk menggerunkan Israel yang hanya mampu memahami bahasa bom dan senapang.

Disember tahun 1987 Sheikh Ahmad Yasin bersama beberapa orang tokoh masyarakat (pendukung Ikhwanul Muslimin di Gaza) mengasaskan Pergerakan Kebangkitan Islam (HAMAS) atau dalam Bahasa Arab disebut Harakat al-Muqawwamat al-Islamiyyah.

Pertubuhan ini secara langsung membawa fikrah Ikhwanul Muslimin dan menyeru rakyat Palestin berjuang atas dasar Islam dan menentang penjajahan Yahudi di Palestin. Sheikh Ahmad Yasin sendiri dipilih sebagai pemimpin tertinggi dan beliau merupakan ideologue gerakan ini yang terkenal dengan sifat warak, berani, lantang berpidato, sedia berkorban dan mempunyai aura kepimpinan.

Matlamat perjuangan HAMAS dinyatakan di dalam perlembagaannya yang diisytiharkan pada 18 Ogos 1988. Antaranya ialah:

1. Dasar dan manhaj HAMAS ialah Islam yang lengkap.

2. HAMAS adalah gerakan kemanusiaan yang mengambil kira toleransi Islam yang membenarkan penganut agama lain tinggal bersama masyarakat Islam.

3. Palestin adalah tanah Islam sejak turun temurun hinggalah hari kiamat. Ia tidak boleh dibelah bahagi atau diserahkan kepada pihak lain. Ia bukan milik mana-mana individu, pertubuhan ataupun raja dan presiden Negara-negara Arab. Ia adalah milik Islam yang mesti dipertahankan.

4. Jihad menentang kezaliman Yahudi adalah fardhu ain ke atas setiap umat Islam lelaki dan perempuan. Dalam hal ini, wanita yang keluar berjihad tanpa izin suaminya adalah tidak berdosa.

5. HAMAS menolak usaha melengah-lengahkan kemenangan seperti perjanjian damai, persidangan-persidangan dan sebagainya. Hanya jihad sahaja jalan penyelesaian bagi isu Palestin.

6. Kelompok wanita memainkan peranan besar dalam perjuangan membebaskan bumi Palestin. Mereka perlu berperanan melatih, mentarbiah dan mendidik serta melahirkan generasi yang faham Islam dan berakhlak mulia serta bersemangat tinggi untuk membebaskan tanah air mereka.

7. HAMAS menghormati pandangan gerakan-gerakan Islam yang lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan Islam. Ia juga turut menganggap Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Yasir Arafat sebagai ‘sahabat’, tetapi menolak fahaman sekular gerakan itu.

HAMAS mempunyai sikap yang tegas terhadap penubuhan pemerintahan Islam, tanpa kompromi maka gerakan ini menolak perjanjian damai sementara antara Israel dan Palestin pada tahun 1993-1994.

Mulai tahun 1994 HAMAS telah memulakan serangan berani mati terhadap Israel, fenomena ini menjadi igauan paling buruk bagi orang Yahudi. Dalam tahun 1996 sahaja empat serangan bom dalam musim bunga telah diadakan menyebabkan 60 orang penduduk Israel telah terbunuh.

Setelah 38 tahun berlalu, menerjang badai perjuangan kemerdekaan Palestin, HAMAS terus gagah berdada dengan kezaliman rejim Zionis serta mendapat dokongan kuat ummah. Mereka mempunyai penyokong di seluruh dunia dan membina hubungan yang baik dengan gerakan Islam antarabangsa.

Gerakan ‘memandaikan’ anak bangsa sejak lebih tiga dekad ini telah menampakkan hasil. Anak-anak miskin Gaza yang menimba ilmu sains dan teknologi di luar negara, kini pulang mencurahkan bakti, mereka mencipta pelbagai alatan senjata moden termasuk dron pembunuh, roket, pemintas senjata, dan lain-lain senjata yang menggerunkan Yahudi.

Pimpinan mereka ramai yang telah menjadi syuhada seperti Sheikh Ahmad Yasin, Solah Syahadah, Dr Abdul Aziz Rantisi, Dr Nizar Abdul Kader Rayyan, Yahya Sinwar, Said Siyyam dan yang lain-lain. Genap setahun yang lalu kita dikejutkan dengan kesyahidan Ismail Haniyyeh, mantan Perdana Menteri Gaza dan juga pemimpin tertinggi HAMAS.

Harakah Islam yang berkubu di Gaza ini kini mencapai usia 38 tahun dan mempunyai hubungan akrab dengan seluruh gerakan Islam antarabangsa dengan kebijakan Ismail Haniyeh. Menuntut HAMAS meletakkan senjata, membebaskan tahanan IDF, berhenti daripada memerintah Gaza adalah idea musuh Islam, ahzab moden yang disokong oleh penguasa umat Islam yang munafik, khalas!!.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Pengerusi Lajnah Sukan, Kesenian dan Kebudayaan (LESTARI) PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/8/2025

- Advertisement -