
TAWAU: PAS menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah sekiranya diberikan mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 nanti.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu konsisten dalam memperjuangkan isu berkaitan Sabah termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pembangunan luar bandar dan pengurangan kadar kemiskinan.
“PAS pernah berada dalam Kerajaan Persekutuan dan ketika itu, saya sendiri selaku Menteri Undang-Undang memainkan peranan penting dalam rundingan berkaitan MA63 bersama Datuk Seri Panglima Maximus Ongkili.
“Kita telah capai banyak kemajuan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri. Meskipun kini kita bukan lagi kerajaan, namun perjuangan ini tidak akan terhenti,” katanya .
Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Perikatan Nasional (PN) berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Rakyat Tawau, di sini, malam ini.
Takiyuddin menegaskan, PAS berpegang kepada prinsip bahawa Islam adalah penyelesaian menyeluruh kepada pelbagai cabaran, termasuk isu pemerintahan, keadilan sosial dan keharmonian masyarakat.
“Islam menjamin keadilan untuk semua tanpa mengira kaum dan agama. Prinsip ini yang menjadi teras perjuangan PAS.
“Kita percaya rakyat Sabah dapat menerima pendekatan ini yang bersifat inklusif dan menyatukan,” katanya yang juga Ahli Parlimrn Kota Bharu.
Menurutnya, PAS menghormati komposisi masyarakat Sabah yang berbilang kaum dan agama, serta akan mendekati rakyat dengan pendekatan yang harmoni dan menyeluruh.
“Sabah adalah contoh terbaik perpaduan rakyat pelbagai latar belakang. Kita akan mendampingi rakyat dengan mesej Islam yang adil, terbuka dan menekankan kebajikan untuk semua,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 1/8/2025











