Wajib pendidikan menengah perlu peranan semua

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Hassan Saad (PN-Baling) menyokong kenyataan kerajaan bahawa tindakan undang-undang terhadap ibu bapa adalah langkah terakhir dalam usaha memastikan pendidikan menengah diwajibkan.

Namun beliau menegaskan bahawa pendekatan tersebut perlu difahami secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan kerjasama strategik pelbagai pihak.

“Ini saya sokong namun begitu indikasi ini mesti difahami secara menyeluruh. Ia bukan sekadar lawatan ziarah cakna ataupun poster kempen di sekolah.

“Tetapi memerlukan kerjasama strategik dengan masjid, surau, persatuan penduduk, NGO, wakil rakyat dan penghulu. Semua perlu memainkan peranan mendekati ibu bapa yang tercicir daripada sistem ini.

“Jangan kita menganggap semua ibu bapa cuai. Ramai yang sedang berjuang untuk hidup,” ujarnya semasa mengambil bahagian berucap pada perbahasan Rang Undang-undang Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Hassan turut membangkitkan cabaran realiti yang dihadapi masyarakat luar bandar, khususnya di kawasannya di Baling, apabila ada ibu bapa terpaksa memilih antara menghantar anak ke sekolah atau meminta anak bekerja membantu keluarga di kebun dan dusun.

“Ramai ibu bapa tidak menolak pendidikan menengah, tetapi mereka terpaksa memilih antara menyekolahkan anak atau menghantar anak bekerja membantu keluarga di kebun atau di dusun. Ini realiti.

“Maka saya memohon kementerian memastikan bahawa infrastruktur, akses pengangkutan dan bantuan kewangan seperti biasiswa kecil Persekutuan serta subsidi alat tulis mesti diperkasa lebih awal dan bersasar mengikut data B40,” cadangnya.

Beliau juga memberi perhatian terhadap cadangan peruntukan baharu dalam Seksyen 32A yang memberi kuasa kepada Menteri untuk menetapkan pendidikan menengah sebagai wajib.

“Peruntukan Seksyen baharu 32A yang memberi kuasa kepada menteri untuk menetapkan pendidikan menengah sebagai wajib perlu dibahas dan diteliti dengan lanjut.

“Saya bimbang jika tidak diperincikan, ia membuka ruang pelaksanaan yang terlalu subjektif sedangkan pendidikan melibatkan hak asas kanak-kanak dan amanah terhadap ibu bapa,” terangnya.

Mengulas lanjut, Hassan menyambut baik hasrat kerajaan memastikan semua murid menamatkan pendidikan dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), namun menegaskan sistem TVET perlu benar-benar mesra pelajar tercicir akademik.

“TVET bukan tong sampah pelajar lemah tetapi laluan masa depan berasaskan kemahiran dan produktiviti. Maka penyelesaian kurikulum dan peningkatan fasiliti TVET mesti digerakkan selari dengan pindaan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2025

- Advertisement -
- Advertisement -