
KOTA BHARU: Tuduhan penyokong Pakatan Harapan (PH) terhadap pimpinan negeri Kelantan sebagai ‘tidak kenang budi’ kerana menyertai himpunan di Kuala Lumpur baru-baru ini, menunjukkan mereka tidak memahami konsep federalisme.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Firdaus Mohamed Nawi berkata, menjadi bidang kuasa Persekutuan dan negeri untuk saling bekerjasama dan membantu untuk pastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin.
Bagaimanapun dalam memastikan hubungan terus dijalin lancar beliau berkata, perhimpunan merupakan salah satu kaedah bagi rakyat memberi teguran kepada kerajaan supaya menilai kembali keputusannya.
“Ia adalah petanda rakyat masih peduli, bukan membenci, sebagai rakyat bertanggungjawab dan berhak bersuara apabila ada janji dimungkiri, dasar menekan rakyat, dan kepincangan dalam pentadbiran.
“Teguran yang dibuat melalui perhimpunan baru-baru ini bukanlah menolak kebaikan, tetapi rakyat menuntut keadilan yang lebih menyeluruh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook di sini semalam.
Ketua Pemuda PAS Kawasan Bachok itu berkata, kenyataan ‘tidak kenang budi’ dilaungkan penyokong PH memberi gambaran idealisma politik yang rendah biarpun mendakwa mengamal budaya politik terbuka.
Tetapi pemikiran golongan tersebut masih dipenuhi dengan dendam kata beliau, sehingga segala yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini dibantah begitu sahaja tanpa memikirkan manfaat dinikmati rakyat.
Malah selepas diberi mandat pada akhir tahun 2022, pemikiran politik sedemikian terus terbawa-bawa dalam kerajaan sedangkan perhimpunan baru-baru ini, manifestasi teguran rakyat kepada pemerintah.
“Apa lagi desakan kita adalah ‘Turun Anwar’, bukan mencabar demokrasi undi pilihan raya, kita hadir demi semangat dan kesedaran bina negara yang lebih baik melalui pentadbiran lebih baik dan berintegriti.
“Janganlah cedera emosi melihat jumlah kehadiran ramai, lalu bawa naratif direka untuk menyedapkan hati, sesiapa sahaja boleh bersama kami untuk lihat pentadbiran Malaysia yang lebih baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2025











