Intervensi awal tangani masalah keciciran pelajar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jamaludin Yahya (PN–Pasir Salak) mencadangkan agar kerajaan dapat mengenal pasti pelajar yang berisiko tercicir lebih awal dan melaksanakan intervensi susulan pelaksanaan pendidikan wajib sehingga peringkat menengah.

- Advertisement -

Menurut beliau, statistik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 2023 menunjukkan lebih 10,000 pelajar tercicir setiap tahun selepas Tahun Enam, khususnya di kawasan pedalaman dan dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

“Sebagai contoh, kadar keciciran di kalangan pelajar-pelajar di kawasan pedalaman dan Orang Asli yang tinggi, dan juga yang menggunakan tuisyen. Mereka ini masuk sebagai pelajar peperiksaan persendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Persoalan turut dibangkitkan mengenai bagaimana pihak kerajaan dapat mengenal pasti masalah asas dan memperoleh data penuh yang membolehkan penjejakan profil isi rumah bagi pelaksanaan bantuan secara bersasar.

“Apakah kerajaan boleh menyediakan infrastruktur dan tenaga pengajar yang penuh mengikut mata pelajaran di sekolah? Kita kekurangan guru mengikut mata pelajaran di sekolah dan adakah kerajaan boleh menyediakan projek naik taraf.

“Dan pembinaan sekolah baharu secara jangka panjang? Bolehkah kerajaan menyediakan peruntukan teknologi pendidikan komputer dan makmal yang lebih tepat sasaran? Pihak kerajaan wajib menyediakan keperluan asas di sekolah,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada pihak KPM bercadang untuk mengembalikan dan memperluaskan pengajaran tulisan Jawi secara lebih menyeluruh di semua sekolah rendah tanpa perlu tunduk kepada tekanan politik pihak tertentu. – HARAKAHDAILY 30/7/2025

- Advertisement -