
KUALA LUMPUR: Masyarakat tidak harus dipersalahkan atas wujudnya pelbagai persepsi susulan beberapa insiden yang mencemari institusi pendidikan negara.
Ustaz Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berkata demikian ketika mengulas tragedi yang menimpa Allahyarhamah adik Zara Qairina Mahathir dan beberapa kes lain sebelum ini.
“Jangan salahkan masyarakat mewujudkan pelbagai persepsi kerana masyarakat telah melihat bukan satu kes, dua kes yang membabitkan perkara yang sama melibatkan institusi pendidikan kita.
“Sama ada rendah, menengah atau universiti,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut menyuarakan keresahan ibu bapa yang masih menunggu jawapan dan ketelusan hasil siasatan dalam kes-kes terdahulu, yang disifatkan sebagai terlalu lama dan menimbulkan keraguan terhadap tahap keselamatan pelajar.
Beliau turut menyentuh beberapa perkara kritikal termasuk peranan ibu bapa, isu kemiskinan, beban guru dan masa depan anak-anak Orang Asli.
Dalam perbahasannya, Kamal menyarankan kerajaan agar tidak hanya melihat aspek penguatkuasaan dan kadar denda yang dikenakan ke atas ibu bapa, tetapi turut menekankan keperluan memberikan kefahaman menyeluruh kepada mereka, terutama dari kalangan keluarga miskin.
“Kerajaan perlu menguruskan dengan lebih baik anak-anak daripada keluarga yang tidak mampu. Mereka perlu diyakinkan bahawa anak-anak mereka tidak akan menjadi beban sekiranya meneruskan pendidikan ke peringkat menengah dan seterusnya,” ujarnya.
Beliau juga membangkitkan kebimbangan terhadap kadar pelajar Tahun 6 yang tidak menyambung persekolahan ke Tingkatan 1, yang dianggarkan sekitar tiga hingga lima peratus daripada 450,000 hingga 470,000 pelajar, bersamaan dengan kira-kira 23,000 pelajar setiap tahun.
“Bayangkan, hampir 23,000 pelajar tidak menyambung ke sekolah menengah. Ini angka yang besar dan kita tak boleh pandang ringan,” katanya.
Menurut beliau lagi, antara kelompok yang paling terkesan ialah masyarakat Orang Asli.
“Saya suka menarik perhatian tentang anak-anak Orang Asli. Hari ini kadar kelulusan dari darjah enam hanya sekitar 74 hingga 85 peratus, berbanding 90 peratus di peringkat asas.
“Kerajaan perlu mengenal pasti melihat masa depan anak-anak Orang Asli,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2025











