Bimbang keciciran pelajar terus berlaku walau akta dipinda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Sabri Azit (PN-Jerai), mempersoalkan pendekatan yang bakal diambil kerajaan bagi menangani isu keciciran pelajar susulan pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 yang menjadikan pendidikan menengah sebagai wajib.

- Advertisement -

Beliau berkata, keciciran pelajar terutamanya yang tidak menduduki peperiksaan awam merupakan cabaran besar perlu ditangani dengan pendekatan holistik dan menyeluruh.

“Saya tertarik dengan perbahasan YB Rasah yang menyentuh isu keciciran pelajar menengah dalam peperiksaan. Ini satu cabaran besar dalam pindaan ini.

“Semoga isu keciciran terutama dalam peperiksaan awam perlu pendekatan yang holistik supaya angka ribuan dapat dikurangkan jika tidak dapat disifarkan,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sabri turut merujuk Seksyen baharu 32A(4) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan ke atas ibu bapa atau penjaga yang gagal memastikan kehadiran anak ke sekolah.

“Dalam ucapan YB menteri tadi hukuman bukan menjadi semangat utama RUU ini namun apabila letakkan hukuman penalti seperti ini cabaran utamanya ialah bagaimana pindaan ini tidak dikuat kuasa sekiranya bilangan keciciran (masih tinggi) terutamanya dalam peperiksaan.

“Saya juga ingin tahu apakah penalti ini tidak akan menjadi semangat utama selama-lamanya,” katanya.

Dalam pada itu, Sabri memohon penjelasan lanjut mengenai peruntukan RM30 juta yang diumumkan bagi menangani isu keciciran pelajar.

“Apakah mekanisme utama peruntukan ini dibuat secara bersasar atau secara holistik kepada semua yang terlibat?” soalnya. – HARAKAHDAILY 30/7/2025

- Advertisement -