
KUALA LUMPUR: Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) menyokong pindaan Rang Undang-Undang Pendidikan 2025 yang mewajibkan pendidikan sehingga peringkat menengah, di Dewan Rakyat hari ini.
Namun beliau menegaskan bahawa pendekatan itu belum cukup jika aspek pembentukan sahsiah remaja terus diabaikan kerana sekolah bukan sekadar tempat menyampaikan ilmu, tetapi medan pembinaan akhlak dan jati diri generasi muda.
“Kalau tak juga difikirkan sudut keberkesanan pelaksanaan sistem pendidikan itu sendiri yang menyebabkan beberapa golongan remaja terlibat dengan jenayah juvana dan pelbagai kegiatan sosial yang tak sepatutnya juga diambil kira.
“Apa ertinya kita pinda akta untuk mewajibkan pelajar-pelajar ke peringkat sekolah menengah tapi dalam masa yang sama elemen-elemen yang boleh menyebabkan gagalnya falsafah pendidikan untuk dilaksanakan bagi melahirkan insan yang berilmu berakhlak,” tegas beliau.
Parit Buntar mengemukakan kebimbangan terhadap peningkatan gejala sosial dan jenayah dalam kalangan remaja, yang jelas menggambarkan kegagalan pelaksanaan pendidikan holistik.
Beliau merujuk kepada statistik membimbangkan, antaranya peningkatan 37.5 peratus dalam kes jenayah juvana pada tahun 2021, melibatkan kes rogol, dadah dan mencederakan orang.
“Kebanyakan terlibat dengan jenayah rogol, kes berkaitan dadah, mencederakan orang, mencuri dan sebagainya,” jelas Ustaz Misbahul
Beliau berkata, kes remaja lari dari rumah meningkat dari 2,970 kes pada tahun 2019 kepada 3,589 kes tahun 2022 yang mana kebanyakkannya remaja yang terlibat adalah dari sekolah menengah.
“Antara faktornya mencari kebebasan hidup, perselisihan keluarga, pengaruh rakan sebaya, tidak minat belajar, keluarga bermasalah dan sebagainya,” katanya.
Menurut beliau, 20 peratus remaja pernah mengambil minuman beralkohol sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka dan 65 peratus daripada mereka mencuba alkohol sebelum usia 14 tahun.
“Satu kajian yang dibuat pada tahun 2020 mendapati 47.5 peratus golongan ini di Lembah Klang mengaku minum arak dan 20 peratus daripada mereka minum dalam kuantiti besar, risikonya ialah memandu dalam keadaan mabuk, pergaduhan, hubungan seks paksa dan juga merokok,” tegasnya.
Dalam isu seksual remaja pula, beliau menyatakan, Tinjauan Kesihatan Remaja 2022 yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan sebanyak 154,646 remaja dilaporkan pernah melakukan hubungan seks bebas, 33 peratus mula melakukan hubungan seks sebelum usia 14 tahun.
“(Terdapat) 11 peratus mempunyai lebih daripada seorang pasangan, 75 peratus melakukan hubungan seks baru-baru ini, 88 peratus tidak menggunakan kondom dan 80 peratus tidak menggunakan sebarang kaedah perancang keluarga.
“Manakala kehamilan remaja akibat pengaruh seks bebas purata tahunan dianggarkan sekitar 4000 remaja perempuan bawah 18 tahun hamil setiap tahun.
“Penurunan kes hanya berlaku sekitar 13,000 ke 10,000 sahaja dan 40.2 peratus kebanyakannya remaja hamil tidak berkahwin, 80.2 peratus tidak bersekolah dan ada beberapa negeri yang tertinggi bilangannya yang tak perlulah saya sebut satu persatu,” ujar beliau.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap tahap amalan agama dalam kalangan pelajar dan kajian menunjukkan hanya 15 peratus pelajar menengah mengerjakan solat lima waktu, manakala sekitar 80 peratus remaja Islam tidak mampu membaca al-Quran dengan baik.
“Satu kajian telah dibuat negeri Selangor melibatkan 27 remaja dari 9 daerah menunjukkan enam faktor utama pengabaian solat. Pertama, keluarga yang kurang memberi penekanan, pengaruh rakan sebaya, pengaruh teknologi komunikasi, kurangnya peranan masjid dan sebagainya.
“(Sebanyak) 95 peratus umat Islam tidak pernah mencari atau menghadiri kelas mengaji untuk mendalami ilmu agama, hanya sekitar 5 peratus remaja membaca al-Quran secara konsisten dan hanya 1 peratus yang membaca tafsirannya,” tegas beliau.
Misbahul Munir menegaskan bahawa pembinaan insan berilmu dan berakhlak tidak boleh diletakkan semata-mata di bahu Kementerian Pendidikan dan ianya perlu melibatkan kerjasama semua pihak termasuk kementerian-kementerian yang lain.
Beliau menggesa pendekatan menyeluruh dari semua pihak agar falsafah pendidikan negara itu berjaya mencapai objektif sebenar dan melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan bersahsiah tinggi. – HARAKAHDAILY 30/7/2025











