
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan kerajaan agar tidak memandang remeh himpunan rakyat yang diadakan Sabtu lalu, sebaliknya mengambil peluang itu untuk memahami suara dan keresahan mereka.
Beliau berkata, tindakan membesarkan isu kecil seperti jumlah sampah yang ditinggalkan peserta boleh memberi persepsi negatif terhadap keprihatinan kerajaan.
“Perkara seperti ini mungkin kelihatan kecil, tetapi ia boleh dianggap memperlekeh kesungguhan rakyat menyuarakan pandangan mereka.
“Malah, persepsi negatif boleh terbentuk apabila reaksi kerajaan dilihat defensif dan tidak menangani isu sebenar yang dibangkitkan,” ujarnya.
Melalui media sosial Instagramnya, Nazmi berkata politik hari ini tidak hanya bergantung kepada fakta, tetapi juga persepsi yang boleh mencetuskan simpati terhadap penganjur serta mengalih tumpuan daripada isu asas.
Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mendakwa hampir 20 metrik tan sampah dikutip selepas Himpunan Turun Anwarn (HTA) di Dataran Merdeka.
Namun, dakwaan itu dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, menyifatkan anggaran itu tidak munasabah berdasarkan jumlah peserta sekitar 18,000 orang seperti dimaklumkan pihak polis.
“Menteri kata 20 tan, bersamaan 20,000 kilogram. Kalau seorang buang satu botol plastik, maknanya jumlah kehadiran mencecah 400,000 orang,” katanya secara sinis.
Sementara itu, penganjur mendakwa perhimpunan itu disertai 500,000 orang, manakala laporan media menganggarkan kehadiran sekitar 25,000 orang.
Nik Nazmi dalam kenyataannya menegaskan bahawa himpunan aman adalah sebahagian daripada proses demokrasi dan wajar dihormati, biarpun mesejnya tidak disetujui oleh semua pihak.
“Demonstrasi adalah manifestasi rasa tidak puas hati terhadap isu-isu asas seperti kos sara hidup, keadilan sosial dan masa depan ekonomi.
“Ia perlu dilihat sebagai ruang untuk memperbaiki dasar, bukan semata-mata cabaran kepada kerajaan,” katanya.
Menurutnya lagi, isu-isu rakyat sering dijadikan bahan sentimen kaum dan agama untuk meraih sokongan politik, dan keadaan itu hanya akan memburukkan lagi keadaan jika tidak ditangani secara bijaksana.
“Masa depan negara ini tidak dibina dengan retorik, tetapi dengan kejujuran, usaha keras dan keterbukaan untuk mendengar,” tegas beliau.
Nik Nazmi turut mengucapkan penghargaan kepada kerajaan dan pihak polis atas kerjasama yang diberikan sepanjang berlangsungnya perhimpunan.
“Walaupun saya tidak bersetuju dengan mesej himpunan tersebut, saya menghargai sikap terbuka Anwar dalam membenarkan hak rakyat untuk berhimpun secara aman,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2025











