
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memastikan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik (Pindaan) 2025 dibuat secara telus dan tidak meminggirkan peranan kerajaan negeri, khususnya dalam urusan eksport dan import tenaga elektrik.
Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) berkata, pindaan Seksyen 22D yang memperkenalkan keperluan pelesenan bagi pengimportan dan pengeksportan elektrik perlu disusuli penjelasan menyeluruh, termasuk siapa yang layak menerima lesen serta kaedah pemilihannya.
“Secara prinsipnya saya menyokong langkah ini bagi mengawal selia transaksi rentas sempadan, tetapi ada beberapa persoalan yang saya ingin bangkitkan.
“Siapakah yang akan diberi lesen dan apakah proses pemilihannya telus atau akan dikuasai oleh syarikat-syarikat berkepentingan atau GLC?” soalnya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Ahmad Amzad, kerajaan negeri juga wajar dilibatkan secara langsung memandangkan aktiviti tenaga melibatkan penggunaan tanah, infrastruktur fizikal dan sumber asli yang berada di bawah bidang kuasa negeri.
“Justeru apakah kedudukan kerajaan-kerajaan negeri yang menjadi tuan tanah kepada sumber tenaga tetapi langsung tak disebut di dalam RUU ini?
“Adakah negeri tidak diberi ruang konsaltasi atau penglibatan walaupun projek-projek tenaga sering melibatkan tanah infrastruktur dan kepentingan ekonomi negeri.
“Adakah hasil eksport tenaga akan diagih secara adil kepada negeri pengeluar? Tanpa pengiktirafan hak negeri kita akan ulangi lagi kesilapan sistem federalisme kita di mana negeri sekadar pembekal sumber tetapi tidak diberi hak di dalam hasil,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Amzad turut membangkitkan isu kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa 1 Julai lalu, sekali gus meminta penjelasan bagaimana eksport tenaga dapat berjalan seiring dengan usaha kerajaan meringankan beban pengguna domestik.
“Kerajaan menaikkan tarif elektrik atas alasan kos bahan api dan subsidi bersasar, kenaikan tarif menekan pengguna domestik dan sektor industri terutamanya perusahaan kecil dan sederhana.
“Apabila kos operasi meningkat syarikat tiada pilihan selain memindahkan beban kos kepada pengguna akhir, tetapi dalam masa yang sama RUU ini memberi laluan untuk eksport elektrik ke luar negara.
“Maka timbul persoalan jika kita ada tenaga lebihan untuk dieksport mengapa rakyat masih dibebankan dengan tarif yang lebih tinggi?” soalnya.
Beliau turut meminta kerajaan memberi jaminan bahawa eksport tenaga tidak akan menjejaskan bekalan serta kestabilan harga di pasaran tempatan.
“Adakah hasil eksport ini akan digunakan untuk mengurangkan beban tarif pengguna domestik.
“Adakah wujud mekanisma subsidi silang agar keuntungan daripada pasaran luar dimanfaatkan untuk meringankan beban rakyat di dalam negara?
“Apakah jaminan kerajaan bahawa eksport ini tidak akan menjejaskan bekalan dan kestabilan harga di dalam negara?” soalnya. – HARAKAHDAILY 30/7/2025











