Pertumbuhan berasas hutang jalan singkat berisiko

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyifatkan pertumbuhan berasaskan hutang isi rumah sebagai jalan singkat yang berisiko.

Beliau berkata demikian sambil mempersoalkan sama ada kerajaan sedang membina semula ekonomi melalui peningkatan produktiviti atau sekadar merancakkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi hutang.

Menurutnya, pada 9 Julai lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

Keputusan itu katanya, menyusuli tindakan terdahulu pada Mei 2025, apabila BNM menurunkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada 2.00 peratus kepada 1.00 peratus, menyuntik lebih RM19 bilion kecairan ke dalam sistem perbankan.

“Tujuannya jelas, merangsang pertumbuhan ekonomi melalui instrumen kewangan dalam suasana global yang semakin tidak menentu, termasuk tekanan tarif dari Amerika Syarikat.

“Kadar faedah yang lebih rendah dijangka menggalakkan pinjaman, pelaburan dan perbelanjaan isi rumah. Dari sudut dasar monetari, Bank Negara telah memainkan peranannya.

“iaitu mengimbangi keperluan menyokong ekonomi tanpa menjejaskan kestabilan harga dan sistem kewangan. Namun, persoalan yang lebih besar wajar ditujukan kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

“Adakah kita sedang membina semula ekonomi melalui peningkatan produktiviti dan pelaburan sebenar. Atau (ia) sekadar merancakkan angka KDNK melalui pertumbuhan berasaskan hutang isi rumah,” ujarnya.

Risiko pertumbuhan berasaskan hutang

Beliau menjelaskan bahawa secara dasarnya, langkah pelonggaran monetari boleh menjadi pisau bermata dua di mana kecairan tambahan dalam sistem perbankan tidak semestinya mengalir ke sektor yang produktif.

Sebaliknya menurut beliau, ia boleh mencetuskan apa yang disebut sebagai ‘pertumbuhan ekonomi berasaskan hutang isi rumah’ iaitu apabila rakyat berbelanja melebihi kemampuan sebenar, menjadikan hutang sebagai pengganti kepada pendapatan tidak meningkat.

“Hutang isi rumah Malaysia kini mencecah hampir 85 peratus daripada KDNK, antara yang tertinggi di Asia. Sebahagian besar daripadanya datang daripada pinjaman perumahan, kenderaan, kad kredit, pinjaman peribadi.

“Kini fenomena ‘Buy Now Pay Later’ (BNPL) semakin popular dalam kalangan generasi muda. Malah jumlah terkumpul hutang BNPL hampir mencecah RM10 bilion pada separuh kedua 2025, menimbulkan kebimbangan terhadap risiko keberhutangan golongan belia dan kelompok B40.

“Penurunan OPR dan SRR menjadikan kos pinjaman lebih murah berpotensi mempercepatkan lagi pertumbuhan hutang isi rumah. Lebih membimbangkan rakyat mula bergantung kepada hutang bukan lagi untuk pelaburan atau aset jangka panjang, tetapi semata-mata bagi menampung kos sara hidup harian,” terangnya.

Tambah beliau, unjuran inflasi bagi keseluruhan tahun 2025 dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini dengan mengambil kira kesan daripada peluasan SST, serta semakan tarif elektrik (berkuat kuasa 1 Julai 2025), pematuhan penuh terhadap gaji minimum baharu (1 Ogos 2025).

Ia tambahnya termasuk penyasaran subsidi petrol RON95 (dijangka pada separuh kedua 2025), dan peningkatan kos buruh asing termasuk caruman KWSP (berkuat kuasa Oktober 2025).

Jurang dasar monetari dan fiskal

“Bank pusat telah melaksanakan peranannya secara profesional dan terarah. Namun, jurang dasar yang paling ketara kini terletak pada pihak kerajaan. Apabila dasar fiskal gagal merangsang pendapatan boleh guna rakyat secara mampan.

“Sama ada melalui kenaikan gaji, peluang pekerjaan berkualiti atau akses kepada perumahan dan keperluan asas yang mampu milik, maka rakyat tiada pilihan selain berhutang untuk kelangsungan hidup,” jelasnya.

Beliau mencadangkan agar kerajaan menyegerakan reformasi fiskal yang adil dan menyeluruh, termasuk pembaharuan pasaran buruh, dasar harga barang, pemilikan rumah mampu milik, serta bantuan bersasar yang benar-benar berimpak jangka panjang.

“Kerajaan juga perlu kawal selia produk hutang berisiko tinggi seperti BNPL dan kad kredit secara lebih tegas. Pendidikan kewangan penting, tetapi tidak memadai sekiranya sistem terus memberi insentif kepada hutang mudah tanpa menilai kemampuan sebenar pengguna.

“Dalam hal ini, Bank Negara telah menjalankan mandat monetarinya dengan penuh tanggungjawab. Namun, pelonggaran monetari sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disusuli oleh dasar fiskal yang mampan dan berpihak kepada rakyat,” tegasnya.

Kawal hutang rakyat dan kerajaan

Syahir turut menegaskan bahawa tanggungjawab untuk memastikan pendapatan rakyat meningkat, kos sara hidup terkawal, dan keperluan asas terjamin terletak di bahu kerajaan, khususnya Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Tanpa pembetulan di peringkat ini, kita berisiko membina pertumbuhan atas dasar hutang yang akhirnya melemahkan daya tahan ekonomi negara.

“Terbaharu, hutang Kerajaan Persekutuan mencatat peningkatan kepada RM1.3 trilion berbanding RM1.25 trilion pada akhir 2024, di samping peningkatan liabiliti kerajaan, menjejaskan keupayaan untuk menjana pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaan kerajaan yang efektif dan produktif.

“Perlu disedari bahawa, pertumbuhan ekonomi sebenar tidak boleh digerakkan oleh hutang semata-mata, tetapi mesti dibina atas asas produktiviti, keadilan sosial serta keupayaan negara dan rakyat untuk berdikari secara ekonomi,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2025

- Advertisement -
- Advertisement -