
KOTA BHARU: Polis Kelantan menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada sekiranya merancang untuk ke Thailand susulan situasi tidak menentu di sempadan negara itu dengan Kemboja ketika ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya tidak menghalang mana-mana pihak untuk ke negara jiran berkenaan, namun langkah berjaga-jaga perlu sentiasa diutamakan.
“Nasihat saya kepada orang ramai ialah supaya sentiasa berhati-hati apabila melancong ke Thailand, terutama mengambil kira perkembangan terkini di sempadannya dengan Kemboja.
“Pihak polis tidak menghalang mana-mana pihak untuk ke sana, tetapi saya menyeru agar sentiasa berwaspada kerana keadaan di negara jiran itu tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah 2025 dan Karnival Kelantanku Cakna 2025.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud di perkarangan Masjid Jamek Muhammadi, di sini.
Bagaimanapun, kelmarin Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Thailand dan Kemboja telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat.
Beliau mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dalam kapasiti sebagai tuan rumah dan Pengerusi ASEAN.
Perbalahan bersenjata tercetus antara Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan yang dipertikai sejak enam hari lalu.
Ini kali kedua tentera kedua-dua negara bertempur selepas saling menuduh satu sama lain melepaskan tembakan terlebih dahulu susulan ketegangan yang memuncak sejak beberapa minggu lalu.
Seramai 35,800 penduduk dari wilayah Oddar Meanchey, Preah Vihear, Pursat dan Banteay Meanchey di Kemboja telah dipindahkan sejak konflik tercetus.
Media melaporkan lima anggota tentera Kemboja dan lapan orang awam terbunuh, manakala 21 tentera dan 50 orang awam cedera sejak pertempuran bermula. – HARAKAHDAILY 30/7/2025











