PAS tegas pertahan prinsip, bukan pelahap jawatan

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bukanlah sebuah parti yang kemaruk kuasa atau tergila-gilakan jawatan, tegas Pengarah Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid.

- Advertisement -

Beliau menolak kenyataan Dr Maszlee Malik yang mendakwa peluang PAS untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri lebih cerah sekiranya menyertai Kerajaan Perpaduan.

Anas Soffy menyifatkan dakwaan bekas Menteri Pendidikan itu sebagai meleset dan langsung tidak mencerminkan asas perjuangan PAS.

“PAS tidak pernah menjadikan jawatan sebagai matlamat perjuangan. PAS bukan parti yang rela digoda dengan umpan kedudukan atau habuan kuasa,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Anas, sejarah politik negara memperlihatkan bagaimana PAS pernah bersama pelbagai gabungan politik termasuk Barisan Nasional (BN), Muafakat Nasional (MN), Perikatan Nasional (PN) serta Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.

Namun katanya, PAS tidak pernah teragak-agak untuk meninggalkan mana-mana gabungan apabila prinsip perjuangan Islam dicabar.

“Setiap kali prinsip Islam tidak dihormati, PAS akan undur diri walaupun terpaksa kehilangan kuasa, kedudukan dan kerajaan. Itu bukti konsistensi dan istiqamah PAS dalam perjuangan Islam,” tegas beliau.

Tegas Anas lagi, parti-parti yang ingin menjalin kerjasama dengan PAS mestilah terlebih dahulu memahami dan menghormati dasar perjuangan Islam yang menjadi asas penubuhan parti itu sejak awal.

“PAS adalah parti berprinsip. Siapa yang ingin bersama PAS, mereka perlu akur kepada dasar perjuangan PAS. Bukan PAS yang perlu beralah atau berubah demi kerjasama politik,” katanya.

Beliau turut menyelar sikap sesetengah pemimpin dalam kerajaan yang menurutnya kini semakin terdesak, lantas mula memancing PAS dengan janji-janji kosong yang kononnya menjanjikan kedudukan tinggi dalam kerajaan.

“Gabungan PH-BN hari ini sedang goyah. Mereka tahu rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap pentadbiran mereka yang gagal mengurus negara dengan baik.

“Maka mereka cuba umpan PAS dengan jawatan. Tapi PAS bukan seperti parti yang boleh dijinakkan dengan habuan,” sindir beliau.

Tambahnya, rakyat kini semakin matang dan jelas dalam menilai siapa yang benar-benar memperjuangkan nasib mereka.

“PAS terus komited dengan isu-isu rakyat, kos sara hidup, ketelusan pentadbiran, keadilan sosial dan kebajikan umat. PAS tidak tunduk pada tekanan politik atau godaan kuasa,” katanya lagi.

Anas berkata, kenyataan Maszlee hanya menunjukkan kegagalan beliau dalam memahami jati diri dan pendirian sebenar PAS sebagai gerakan Islam yang memperjuangkan kepentingan ummah, bukan agenda peribadi mahupun politik sempit.

“Cukuplah kamu jinakkan parti-parti yang rela jadi peliharaan politik. PAS tidak akan sesekali menjadi alat kepada agenda sekular dan oportunis. PAS bukan untuk dijual, dan perjuangan kami bukan untuk digadai demi jawatan,” tegasnya.

Beliau juga yakin, gelombang sokongan rakyat terhadap PAS dan Perikatan Nasional (PN) akan terus meningkat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

“Insya-Allah PAS dan PN akan mendapat kepercayaan majoriti rakyat. Rakyat sudah sedar siapa yang benar-benar membela mereka, dan siapa yang hanya pandai berjanji tapi gagal menunaikannya,” katanya.

Sebelum ini, Dr Maszlee dilaporkan membuat kenyataan bahawa peluang PAS untuk menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri lebih cerah sekiranya menyertai Kerajaan Perpaduan.

Namun kenyataan itu mendapat kritikan hebat pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai ‘umpan politik murahan’. – HARAKAHDAILY 30/7/2025

- Advertisement -