
KUALA LUMPUR: Shaharizukirnain Abdul Kadir (PN-Setiu) mempersoalkan komitmen kerajaan dalam melindungi hak pengguna dan menjamin manfaat kepada negeri pengeluar tenaga apabila Rang Undang Undang Bekalan Elektrik (Pindaan) 2025 dibentangkan di Dewan Rakyat.
Menyifatkan pindaan ini sebagai satu langkah untuk membuka laluan kepada perdagangan tenaga rentas sempadan, beliau bimbang ketiadaan mekanisme perlindungan terhadap pengguna dan negeri yang terlibat dalam penjanaan tenaga.
“Dalam Seksyen 22D, iaitu dengan memperkenalkan lesen pengimportan
dan pengeksportan elektrik, kerajaan hari ini mewujudkan peluang baharu untuk perdagangan tenaga rentas sempadan.
“Tetapi langsung tidak menetapkan peruntukan untuk memastikan keuntungan itu dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk rebat ataupun pengurangan tarif,” ujarnya dalam sesi perbahasan hari ini.
Shaharizukirnain turut mempersoalkan siapa yang akan dilantik sebagai pengeksport dan pengimport tenaga, serta adakah eksport elektrik akan memberi kesan kepada tarif domestik rakyat Malaysia.
Beliau mengingatkan bahawa sebarang aktiviti eksport elektrik mesti disandarkan kepada pelan jangka panjang peningkatan kapasiti tenaga negara, jika tidak akan membebankan rakyat apabila bekalan tempatan menjadi terhad dan harga meningkat.
“Apa yang lebih membimbangkan had siling untuk mengeksport tenaga juga tidak dinyatakan dengan jelas.
“Tidak mustahil jika kita jual elektrik ke negara luar tetapi akhirnya rakyat tempatan yang menanggung kos kerana bekalan elektrik yang terhad dan harga pasaran akan naik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu keadilan kepada negeri-negeri yang menjadi lokasi utama penjanaan elektrik seperti Terengganu.
“Penghasilan tenaga di negeri seperti Terengganu melibatkan kawasan dan tanah negeri, tetapi setakat ini, tiada manfaat secara langsung diterima oleh negeri daripada dasar yang diperkenalkan kerajaan.
“Apakah wujudnya mekanisme khusus untuk pengagihan hasil eksport ini kepada negeri?” soal beliau.
Merujuk Tasik Kenyir yang luasnya mencecah 260,000 hektar, beliau menegaskan bahawa pembangunan kawasan tadahan tersebut sewajarnya memberi pulangan kepada kerajaan negeri.
“Saya mohon agar negeri-negeri yang terlibat dalam penjanaan elektrik terutamanya Negeri Terengganu, diberi kelebihan atau perkongsian hasil daripada pengenalan dasar ini,” ujarnya menutup perbahasan tersebut. – HARAKAHDAILY 30/7/2025











