Perluas literasi AI berteraskan akhlak – Raja Muda Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa kemajuan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), mestilah digerakkan seiring dengan pembinaan jati diri, nilai moral dan etika digital dalam kalangan generasi muda.

- Advertisement -

Titah tersebut dizahirkan ketika menyempurnakan Majlis Penutup NextGen AiREd Fest 2025 anjuran Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), di sini semalam.

Juga turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Baginda menekankan bahawa anak-anak yang celik teknologi tidak cukup sekadar mahir, bahkan perlu diperlengkap dengan akhlak dan tanggungjawab dalam memanfaatkan AI secara bijaksana dan beretika.

Menurut baginda, usaha membudayakan Al dan robotik di peringkat akar umbi adalah pelaburan strategik jangka panjang dan yakin Perlis mampu melahirkan bakat bertaraf dunia.

“Saya amat berbangga dan teruja melihat anak-anak Perlis dari bangku sekolah rendah hingga ke menara gading sudah mula menunjukkan keberanian untuk meneroka teknologi dan mencipta penyelesaian dunia nyata melalui AI.

“NextGen AiREd Fest bukan sekadar medan pertandingan dan pertunjukan bakat, bahkan medan pengukuhan literasi digital, pemikiran kritis dan daya inovasi generasi muda,” titah baginda.

Menurut kenyataan FCoEE, program selama dua hari itu merupakan inisiatif strategik yang menghimpunkan pelajar dari Kelab AiREd dan Junior AiREd dalam sebuah festival teknologi dan inovasi berprestij di peringkat negeri.

Kedua-dua kelab tersebut berperanan sebagai platform eksklusif untuk memperkenalkan pelajar sekolah rendah dan menengah kepada bidang robotik, pengaturcaraan dan kecerdasan buatan secara sistematik serta berstruktur.

“Program ini dirangka bagi memenuhi keperluan dan aspirasi Pendidikan Abad Ke-21 serta selaras dengan Dasar Pendidikan STEM dan Pelan Tindakan Pendidikan Digital Negara.

“Melalui pendekatan kompetitif dan interaktif, ia bukan sahaja mencungkil bakat pelajar dalam bidang teknologi, tetapi turut memperkukuh kemahiran insaniah seperti kepimpinan, pemikiran kritikal, penyelesaian masalah dan kerjasama berpasukan,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, penglibatan rakan strategik antarabangsa dari Thailand serta rakan tempatan seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis turut menyumbang kepada kejayaan penganjuran program berkenaan. – HARAKAHDAILY 30/7/2025

- Advertisement -