
KUALA LUMPUR: Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) menyarankan kerajaan supaya mewajibkan pemasangan sistem keselamatan seperti Automatic Emergency Braking (AEB), Electronic Stability Control (ESC) serta Realtime Monitoring System secara bersepadu bersama sistem ‘cut-off authority’ pada semua kenderaan berat.
“Memandangkan laporan awal Pasukan Petugas Khas kemalangan bas UPSI di Gerik telah menyarankan pemasangan sistem keselamatan seperti Automatic Emergency Braking (AEB) dan Electronic Stability Control (ESC) serta Realtime Monitoring System, adakah kementerian bercadang untuk mewajibkan sistem ini bersama sistem ‘cut-off authority’ secara bersepadu dalam semua kenderaan berat?
“Dan adakah kementerian bercadang untuk memperkenalkan sistem blackbox ataupun kotak hitam yang sesuai bagi semua kenderaan awam dan berat seperti dalam industri penerbangan bagi audit pasca kemalangan?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan itu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, pihaknya menghargai usaha Pasukan Petugas Khas dalam menyiasat kedua-dua kemalangan yang disebut, iaitu insiden bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kejadian melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan.
“Memang Kementerian Pengangkutan mengambil serius apa yang telah dicadangkan oleh pasukan petugas khas. Namun dalam apa sahaja pelaksanaan sebarang sistem-sistem baharu, sudah tentunya pihak kementerian perlu mengadakan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan dan memastikan pelaksanaan itu dapat dijalankan dengan baik dan teratur,” ujarnya.
Terdahulu, dalam soalan asalnya, Fathul Huzir meminta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah kementerian bercadang untuk mewajibkan pemasangan sistem ‘cut-off automatic’ pada bas atau lori bagi mengehadkan kelajuan atau menghentikan kenderaan jika pemandu mengabaikan peraturan keselamatan. – HARAKAHDAILY 29/7/2025











