Kedah-Kelantan buka ruang kerjasama dasar wanita

Halimaton tertarik dgn kaedah sulaman klingkan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Delegasi Jawatankuasa Penggubal Dasar Wanita Negeri Kedah mengadakan lawatan kerja ke Kelantan bagi memperkukuh pelaksanaan dasar serta pembangunan wanita di negeri itu.

- Advertisement -

Rombongan seramai 25 orang itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Perpaduan Negeri Kedah, Dato’ Halimaton Saadiah Saad sebelum meneruskan siri jelajah ke Terengganu melibatkan negeri-negeri dalam kerjasama SG4.

“Terima kasih kepada Kerajaan Kelantan yang menyambut baik kedatangan kami. Lawatan ini sangat bermakna kerana kami dapat melihat sendiri pelaksanaan program wanita yang boleh dibawa balik ke Kedah,” katanya.

Menurut Halimaton, Kelantan mempunyai banyak input berharga khususnya dalam aspek pembangunan wanita serta program kemahiran yang boleh diadaptasi ke Kedah.

Antara lokasi tumpuan rombongan ialah pusat aktiviti dan kemahiran wanita yang menjadi rujukan dalam bidang jahitan sulam, kelingkan serta jahitan tekap, termasuk penggunaan mesin lama yang menjimatkan kos.

“Bidang seperti sulaman tradisional ini bukan sahaja dapat mengekalkan warisan, malah membuka peluang ekonomi kepada wanita dengan modal yang rendah,” katanya lagi.

Beliau menyatakan hasrat untuk menghantar pelajar dari Kedah mempelajari kemahiran tersebut di Kelantan sebagai perintis, sebelum kembali mengajar kepada anak-anak muda di negeri sendiri.

“Kami sudah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Rohani Ibrahim untuk mengadakan kerjasama membangunkan sulam tekap di Kedah,” jelasnya.

Halimaton turut melahirkan rasa kagum terhadap ketekunan wanita Kelantan yang aktif dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan dan kraftangan.

“Amat kagum melihat kegigihan wanita Kelantan dalam semua bidang. Mereka bukan sahaja berkemahiran, tetapi sangat berdikari dan menjadi penggerak ekonomi negeri,” ujarnya.

Lawatan sehari ke Kelantan ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah dasar wanita negeri Kedah ke negeri-negeri SG4 dalam membina dasar yang lebih komprehensif dan lestari.

Selain mendengar taklimat daripada Rohani, delegasi itu turut dibawa melawat ke Pusat Latihan Wanita OKU dan Armalah (PLWOA) serta Mawaddah Centre di Bandar Kota Bharu.

Rohani mengucapkan terima kasih kepada rombongan Kedah kerana menjadikan Kelantan sebagai rujukan dalam pembangunan wanita.

Katanya, kerajaan negeri menerusi portfolionya bersedia bekerjasama dalam memberikan pandangan serta menjalinkan usahasama pembangunan wanita di Kedah.

“Alhamdulillah, lawatan ini menjadi medan pertukaran pandangan serta inspirasi bersama dalam usaha membela nasib wanita yang memerlukan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/7/2025

- Advertisement -