The Real Warriors bina semula kekuatan sejati

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pasukan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) bertekad membina semula kekuatan sejati bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri itu walaupun baru berusia sebulan.

- Advertisement -

Presiden KTRW FC, Tan Sri Annuar Musa berkata keseluruhan pasukan termasuk kejurulatihan dan pemain hanya dibentuk dalam tempoh singkat sebulan.

Katanya, biarpun berdepan keterbatasan bajet dan kekangan persiapan, mereka tetap bertekad untuk melangkah secara berperingkat dalam suasana saingan yang lebih mencabar.

“The Real Warriors baru berusia sebulan. Semua serba baru. Dari jurulatih hingga ke barisan pemain, mereka hanya mula beraksi bersama dalam masa sebulan ini,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, pasukan itu menyedari cabaran yang menanti sangat besar kerana perlu bersaing dengan pasukan berpengalaman dan berkemampuan tinggi.

“Namun tekad pemain dan pengurusan sangat kental. Tiada jalan mudah untuk mencipta sebuah kejuaraan,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan kekangan kewangan masih menjadi halangan utama kerana penajaan yang diperoleh masih belum mencukupi.

Lebih membebankan, sebahagian besar dana terpaksa disalurkan terlebih dahulu bagi menyelesaikan sembilan sekatan FIFA serta tunggakan gaji terutama bagi tahun 2024 dan sebelumnya.

“Disebabkan itu juga, kita belum mampu mendapatkan pemain import bertaraf tinggi mahupun pemain tempatan berstatus bintang empat.

“Tapi kita tetap komited, kita dahulukan keutamaan demi menyelamatkan slot Kelantan dalam Liga Super,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Tan Sri Annuar menyeru penyokong bola sepak Kelantan supaya terus menyokong pasukan KTRW serta semua pasukan dari Kelantan yang beraksi dalam Liga A1 dan A2 semi-pro.

“Semua ini adalah kesinambungan semangat ‘The Red Warriors’ Kelantan FA dahulu.

“Kita bina semula dengan kekuatan sebenar anak jati dan semangat luar biasa pencinta bola Kelantan. Insya-Allah, kita akan terus mara sebagai The Real Warriors,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 29/7/2025

- Advertisement -