Sastera mampu perkasa ekonomi, pelancongan negeri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebudayaan di Kelantan kini bukan sekadar mencorak wajah kesusasteraan negeri, bahkan turut menyumbang kepada sektor pelancongan serta memperkukuh sosioekonomi rakyat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Kamarudin Md Nor berkata, jangkauan kegiatan kesusasteraan anjuran Gabungan Penulis-penulis Muda Kelantan (GEMA) telah merentas sempadan negeri dan menarik penyertaan dari seluruh negara.

“Sayembara penulisan yang diadakan di Kelantan bukan sahaja menarik penulis dari negeri ini, malah pemenang seperti Rohaidah Yon dari Johor dan Hafshah Samsuri dari Selangor turut hadir menerima hadiah di Kota Bharu.

“Secara tidak langsung, mereka datang bersama keluarga, melancong dan berbelanja di negeri ini yang menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan Negeri Kelantan dan Pelancaran Buku-buku Terbitan GEMA 2025 di Gelanggang Seni, di sini.

Menurutnya, kegiatan sastera bukan sekadar hiburan intelektual, malah berperanan penting menghidupkan nilai kemanusiaan dan membina masyarakat yang sensitif terhadap emosi dan perasaan insan.

“Sasterawan, penyair dan penulis memiliki kepekaan luar biasa terhadap nilai-nilai manusia. Mereka menzahirkan keindahan rasa melalui sajak, cerpen dan karya kreatif yang memperkayakan jiwa dan kehidupan,” ujarnya.

Kamarudin turut menekankan bahawa kebebasan untuk berkarya merupakan satu nikmat besar yang wajar disyukuri, berbanding kehidupan yang terasing dan terkongkong.

“Itulah sebabnya manusia menolak kehidupan seperti penjara. Ia menyekat fitrah untuk bebas, bersuara dan hidup bermasyarakat,” tambahnya.

Beliau turut memuji peranan GEMA dan pertubuhan penulis lain yang disifatkan berjaya menganjurkan kegiatan amar makruf dalam kerangka seni dan kebudayaan yang membina.

“Sastera ini adalah misi membawa kebaikan. Bila kebaikan subur dan berkembang, kemungkaran akan terhakis dengan sendirinya,” katanya.

Mengulas pendekatan berimbang dalam berkarya, beliau turut mengimbas pengajaran daripada Surah al-Syu‘arā’, ayat 225 hingga 227 yang menyentuh tentang ahli syair yang sesat, kecuali mereka beriman, beramal soleh dan sentiasa mengingati Allah.

“Ini pendekatan sederhana yang kita pegang sebagai umat terbaik seperti yang disebut dalam al-Quran,” jelasnya.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran empat naskhah terbitan GEMA bagi tahun 2025 iaitu Suara Lorong Sunyi (antologi puisi), Pintu (antologi cerpen), Pena Digital dan Hati Manusiawi Menulis Dalam Era Kecerdasan Buatan (antologi rencana), serta Indahnya Kelantan.

Turut berlangsung, penyampaian hadiah kepada para pemenang kategori puisi, cerpen dan rencana dalam sayembara penulisan yang menghimpunkan karya bermutu hasil anjuran bersama Kerajaan Negeri Kelantan, GEMA dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur. – HARAKAHDAILY 29/7/2025

- Advertisement -