
KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Meng yang mendakwa para peserta demonstrasi Himpunan Turun Anwar (HTA) meninggalkan sampah merata-rata disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan sarat prejudis perkauman.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana, Dato’ Ridza Abdoh Salleh berkata demikian sebagai reaksi terhadap dakwaan Menteri daripada DAP itu kononnya peserta himpunan meninggalkan 20 tan sampah selepas himpunan.
Katanya, tuduhan berbaur stereotaip terhadap peserta demonstrasi yang majoritinya terdiri daripada bangsa Melayu bukan sahaja tidak berasas, malah menzahirkan sikap sebenar menteri tersebut di mana tidak membuat semakan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan umum.
“Sebaliknya, lokasi demonstrasi tersebut berada dalam keadaan sangat bersih. Tiada satu pun sampah ditemui di jalan mahupun kawasan sekitar. Nga Kor Meng jelas tidak menyemak fakta daripada penasihat beliau.
“Beliau terus membuat andaian dangkal bahawa demonstrasi Melayu pasti sinonim dengan kekotoran,” tegas Dato’ Ridza dalam kenyataan kepada HarakahDaily.
Jelasnya, perkara ini bukan sekadar isu kecil berkaitan kebersihan, bahkan ia melibatkan persoalan lebih besar iaitu kredibiliti dan integriti seorang anggota kabinet.
Beliau menegaskan, jika seorang menteri boleh berbohong dalam isu remeh, apatah lagi dalam perkara-perkara yang lebih kompleks dan melibatkan dasar negara.
“Beliau ternyata silap besar. Maka, kredibilitinya wajar dipersoalkan. Jika dalam isu mudah sebegini pun sanggup berbohong secara terbuka, bagaimana pula dalam isu-isu besar?” soal beliau.
Mengulas lanjut, Dato’ Ridza mengakui bahawa beliau sendiri pada awalnya turut menyimpan tanggapan negatif terhadap ribuan peserta demonstrasi.
“Saya sendiri sangka tempat itu akan jadi lebih teruk daripada tapak pasar malam. Namun, saya benar-benar kagum apabila mendapati tiada secebis pun sampah.
“Tiada pekerja DBKL. Tiada kontraktor pembersihan. Semuanya dilakukan oleh peserta demonstrasi sendiri secara sukarela,” katanya.
Beliau berkata, para peserta terdiri daripada rakyat pelbagai negeri, bukan hanya warga kota, dan mereka telah menunjukkan akhlak, disiplin serta rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap kebersihan dan imej Islam.
Malah menurutnya, kawasan yang ditinggalkan oleh para demonstran itu ternyata lebih bersih daripada tahap kebersihan standard pihak berkuasa tempatan seperti DBKL sendiri.
Dalam pada itu, beliau turut membandingkan demonstrasi 2025 dengan tunjuk perasaan era reformasi 1998, yang menyaksikan keganasan, kereta diterbalikkan, kenderaan polis dibakar dan pelbagai tindakan provokatif.
“Demonstrasi kali ini langsung tidak ganas. Tidak ada kekacauan. Ini bukan demonstrasi jalanan murahan. Ini adalah desakan rakyat secara bermaruah agar Perdana Menteri meletakkan jawatan. Ia sangat teratur dan bertamadun,” katanya.
Tambahnya lagi, sekiranya ada pihak yang cuba menggambarkan aksi aman rakyat itu sebagai kotor atau ganas, maka niat mereka jelas mahu mencemarkan perjuangan rakyat dan mewujudkan sentimen buruk terhadap suara akar umbi umat Islam.
Dato’ Ridza menyifatkan kenyataan Nga Kor Meng bukan sahaja berbaur rasis, malah bersifat fitnah terbuka terhadap rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu.
“Saya amat kecewa dengan kenyataan seorang menteri kerajaan yang bukan sahaja tidak membuat semakan, bahkan menyebarkan fitnah bersifat rasis dari kerusi kementerian,” ujarnya.
Tegas beliau, kenyataan sedemikian seolah-olah menggambarkan mentaliti ‘superior-inferior’ yang menjadikan Melayu sebagai sasaran stereotaip dan penghinaan.
“Beliau seharusnya memohon maaf secara terbuka kepada para pendemo dan rakyat Malaysia. Tetapi saya ragu, adakah beliau punya sedikit pun keikhlasan untuk berbuat demikian?” soal Dato’ Ridza sinis.
Insiden ini ujar beliau, membuka mata rakyat bahawa ada anggota kabinet yang tidak matang dalam menanggapi sentimen rakyat dan lebih cenderung menabur kebencian daripada membina keharmonian.
Beliau menegaskan, rakyat tidak akan diam, kebenaran tetap akan menang, dan segala cubaan untuk memesongkan fakta akan dibalas dengan kesedaran massa yang semakin celik.
“Mereka (peserta demonstrasi) telah buktikan bahawa suara rakyat bukan suara liar. Ia adalah suara yang berdisiplin, berakhlak dan tidak boleh dipadam dengan tohmahan media arus perdana atau fitnah menteri,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2025











