Gesa sekat aplikasi salah guna AI untuk pornografi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan pendirian terhadap penyalahgunaan teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI) yang turut dikaitkan dengan kandungan pornografi dalam kalangan remaja di negara ini.

- Advertisement -

Abdul Ghani Ahmad (PN-Jerlun) membangkitkan perkara itu berikutan golongan tersebut mempunyai akses kepada peranti pintar dan menggunakan akaun platform AI terutamanya ‘deep fake’, mengundang kebimbangan ibu bapa.

Menerusi teknologi yang dibangga-banggakan itu kata beliau, remaja semakin terdedah dengan bahan dan kandungan lucah AI yang memperagakan selebriti mahupun individu dikenali umum termasuk pornografi kanak-kanak.

“Persoalan saya di sini sejauhmanakan kerjasama rentas kementerian yang telah, sedang dan akan dilakukan bagi merancang program pencegahan dan pendidikan untuk menyekat budaya negatif melibatkan pornografi kanak-kanak.

“Selain itu bagaimana langkah kerajaan untuk menghalang atau memadam terus bukan sekadar menyekat laman web lucah ini, tetapi bahan lucah ini melalui AI yang kita bangga-banggakan sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan pertanyaan pada soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Lenggong itu menjelaskan penggunaan AI seperti manipulasi imej dan video melalui aplikasi tersebut menimbulkan cabaran yang besar bagi pengesanan kesahihan dan ketulinan bahan bukti.

Beliau berkata, bahan terbabit boleh melemahkan nilai probatif dalam perbicaraan Mahkamah selain itu masalah dalam koordinasi rentas negara dan tempoh tindakan balas lama turut menjejaskan proses pengumpulan bukti.

“Namun demikian, pihak berkuasa polis terus memperkukuhkan kerjasama dengan agensi teknikal seperti Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan sebagainya.

“Kita juga memperluaskan latihan forensik digital bagi memastikan tindakan undang-undang dapat diambil dengan lebih baik, kita akan meningkatkan keupayaan hadapi cabaran teknologi yang semakin meningkat,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2025

- Advertisement -