
KUALA LUMPUR: Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) menyuarakan kebimbangan terhadap keberkesanan kempen-kempen kesedaran yang dilaksanakan oleh Kementerian Perpaduan Negara dalam menangani sentimen perkauman dan ekstremisme agama di media sosial.
Dalam sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, beliau turut mempersoalkan sama ada penilaian impak telah dibuat terhadap pelaksanaan kempen-kempen tersebut.
“Syabas atas pelaksanaan dan pemantauan kempen yang telah dijalankan. Namun, sejauh manakah keberkesanan kempen-kempen ini?. Adakah terdapat penilaian impak dibuat terhadap usaha tersebut?” soal beliau.
Selain itu, beliau turut mengangkat isu strategi jangka panjang Kementerian dalam membina dan mengukuhkan perpaduan nasional, khususnya dalam kalangan generasi muda yang lebih terdedah kepada pengaruh media sosial.
Beliau menyeru agar Kementerian lebih proaktif dalam pendekatan mendidik dan memupuk kefahaman nilai perpaduan secara berterusan dan menyeluruh, terutama melalui platform yang dekat dengan jiwa anak muda.
Menjawab soalan tersebut, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menjelaskan bahawa kementerian telah melaksanakan pelbagai bentuk program melibatkan pelbagai peringkat umur dan komuniti, serta turut membuat kajian keberkesanan terhadap program yang dilaksanakan.
Menurut beliau, program perpaduan tidak hanya digerakkan oleh Kementerian Perpaduan Negara, tetapi juga oleh kementerian-kementerian lain yang bertanggungjawab terhadap agenda keharmonian rakyat.
Muhammad Ismi dalam soalan asalnya meminta Menteri Perpaduan Negara menyatakan usaha Kementerian dalam menangani sentimen perkauman dan ekstremisme agama di media sosial serta hasil pemantauan sehingga separuh pertama 2025. – HARAKAHDAILY 29/7/2025











