Sokong usaha ke arah haramkan rokok elektronik

Zamakhshari Muhamad
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan tahniah dan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan atas tindakan tegas membanteras sindiket dadah di negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di pejabatnya di Kota Darulnaim.

“Walaupun tangkapan yang dilakukan seolah-olah mencalar imej negeri, namun ia menunjukkan kesungguhan pihak berkuasa dalam membanteras musuh nombor satu negara,” katanya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra itu, peningkatan statistik tangkapan tidak harus dilihat secara negatif.

“Tidak mengapa jika statistik tangkapan meningkat, itu membuktikan bahawa polis di negeri ini tekun dan komited dalam memastikan sindiket pengedaran dadah, termasuk dalam kalangan pengasas produk dapat ditumpaskan,” katanya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi PEMADAM Negeri Kelantan berkata, kerajaan negeri turut mengharapkan Kerajaan Persekutuan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan negeri.

“Kelantan juga akan mengemukakan usul berkaitan isu ini dalam Mesyuarat Agung Dwitahunan PEMADAM Kebangsaan ke-46 dan ke-47 yang akan berlangsung pada 9 hingga 11 Ogos depan di Putrajaya,” ujarnya.

Zamakhshari turut menyatakan sokongan penuh terhadap sebarang cadangan untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di peringkat nasional.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff dan mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan, Dato’ Razali Che Razak. – HARAKAHDAILY 29/7/2025

- Advertisement -