
KUBANG PASU: Kerajaan Negeri Kedah memandang serius isu pencemaran air yang berlaku di Kampung Charok Jambu, Jitra yang menimbulkan keresahan penduduk tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato’ Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, pihaknya mengambil tindakan atas aduan penduduk yang bergantung kepada sumber air sungai untuk kegunaan harian dan pertanian.
Beliau turun padang semalam ke kampung berkenaan untuk membuat tinjauan bersama agensi berkaitan dan pengusaha kolam bagi melihat punca dan menilai kesan pencemaran serta mencari penyelesaian terbaik yang mengimbangi kepentingan semua pihak.
“Mengikut Jabatan Alam Sekitar, pencemaran air di situ dikategorikan pada tahap sederhana. Hari ini kita berjumpa dengan pengusaha kolam bagi mencari jalan penyelesaian terbaik, situasi menang-menang.
“Supaya pengusaha boleh terus beroperasi dan pada masa sama, penduduk di sini boleh guna air ini dengan selamat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang.
Antara cadangan dibincangkan termasuklah pengusaha kolam perlu membina kolam tadahan air buangan atau menyediakan sistem rawatan sisa yang bersesuaian bagi mengelakkan pencemaran terus berulang.
Pihaknya telah meminta agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Jabatan Perikanan supaya mengambil sampel air secara berkala terutama ketika proses pelepasan dilakukan.
Langkah ini katanya, penting untuk menilai tahap keselamatan dan kebersihan air secara tepat, seterusnya memastikan tindakan susulan dapat diambil dengan pantas sekiranya berlaku pencemaran yang serius.
“Kita tidak mahu berlaku pencemaran yang menjejaskan kehidupan penduduk, terutamanya apabila mereka menggunakan air sungai ini secara langsung dalam kehidupan harian dan untuk pertanian,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh tentang isu bekalan air bersih daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang masih belum sampai ke seluruh kawasan kampung kerana faktor kedudukan geografi tinggi.
Katanya, walaupun permintaan terhadap air paip semakin meningkat, namun proses untuk menyalurkan bekalan memerlukan kajian teknikal serta peruntukan tambahan daripada pihak berwajib.

“Setakat ini air bersih daripada paip SADA belum dapat disalurkan sepenuhnya ke seluruh Kampung Charok Jambu kerana kawasan ini agak tinggi. Maka penduduk masih bergantung kepada air sungai,” jelasnya.
Menurut beliau, SADA sedang dalam peringkat kajian bagi mengenal pasti keperluan sebenar serta menyediakan pelan teknikal bagi membolehkan permohonan peruntukan dibuat agar sistem saluran air dapat dibina.
“Isu pencemaran air bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan, sebarang bentuk pelepasan sisa tanpa kawalan boleh memberi kesan kepada kesihatan penduduk, hasil tanaman dan juga ekosistem sungai itu sendiri,” tambahnya.
Kerajaan negeri katanya, sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan akan terus memastikan pemantauan rapi dibuat, bukan sahaja terhadap kolam ternakan, tetapi juga terhadap sebarang aktiviti lain yang berisiko mencemarkan alam sekitar.
Mohamad Yusoff@Munir turut menzahirkan penghargaan terhadap penduduk kampung kerana berani tampil menyuarakan masalah yang berlaku, sekaligus membolehkan pihak kerajaan mengambil tindakan awal bagi mengelakkan krisis yang lebih besar.
“Saya minta kerjasama semua pihak pengusaha, agensi dan penduduk agar kita sama-sama menjaga sumber air ini. Ini bukan sahaja penting untuk hari ini, tetapi untuk masa depan anak cucu kita juga,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2025











