
ADAKAH Malaysia menggunakan teknologi nuklear untuk membuat bom? Persoalan ini sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat. Ia berpunca daripada naratif sejarah tragis penggunaan senjata nuklear dalam Perang Dunia Kedua, khususnya di Hiroshima dan Nagasaki.
Namun begitu, menurut Pegawai Penyelidik Kanan di Agensi Nuklear Malaysia, Dr Hishamuddin Husin, Malaysia tidak membangunkan senjata nuklear, sebaliknya komited terhadap penggunaan teknologi ini untuk tujuan aman dan berfaedah kepada rakyat.
“Malaysia tidak hanya menolak penggunaan senjata nuklear, bahkan komited memperkasakan teknologi nuklear untuk manfaat rakyat melalui pelbagai sektor seperti perubatan, pertanian, perindustrian dan alam sekitar,” ujarnya kepada HarakahDaily semasa ditemui di Pameran Hari Muzium Antarabangsa 2025 (HMA2025) baru-baru ini.
Malaysia ialah negara pihak kepada Treaty on the Non-Proliferation of Nuclear Weapons (NPT) di bawah seliaan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), yang mengikat negara untuk tidak menghasilkan senjata nuklear, tetapi membenarkan penggunaan tenaga atom untuk tujuan damai.
Agensi Nuklear Malaysia atau Nuklear Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjadi teras utama penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi nuklear di negara ini.
“Di bawah kendalian kami ialah Reaktor TRIGA PUSPATI, loji sinaran gama dan kemudahan sinaran lain yang digunakan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan teknologi nuklear secara aman,” jelasnya.
Antara pencapaian membanggakan agensi ini ialah dalam sektor pertanian, apabila berjaya membangunkan varieti padi NMR152 yang lebih tahan penyakit dan cuaca ekstrem menggunakan teknik biak baka mutasi radiasi.
“Kita juga membangunkan tanaman lain seperti nenas, cili, pisang, kenaf dan pokok bunga. Semua ini menyumbang kepada jaminan makanan negara,” katanya.
Dalam bidang perubatan, radioisotop yang dihasilkan melalui teknologi nuklear digunakan secara meluas dalam proses diagnosis dan rawatan penyakit kritikal.
“Radioisotop ini meningkatkan ketepatan pengimejan dalam diagnosis serta digunakan untuk menyalurkan ubat terus kepada sel penyakit seperti kanser. Ini beri impak besar kepada sistem kesihatan negara,” ujarnya.
Nuklear Malaysia juga bertindak sebagai agensi penghubung kepada IAEA serta pihak yang bertanggungjawab terhadap Comprehensive Nuclear-Test-Ban Treaty (CTBT).
“Malaysia ada stesen radionuklid di bawah CTBT yang mampu mengesan dan memantau sebarang aktiviti nuklear di peringkat antarabangsa,” terang beliau.
Selain itu, agensi ini turut menawarkan latihan teknikal, khidmat kepakaran dan advokasi kepada pelbagai agensi kerajaan dan swasta melibatkan keselamatan sinaran, pengurusan sisa radioaktif dan sekuriti nuklear.
Melalui penyertaan dalam HMA2025, Nuklear Malaysia memperkenalkan peranan unit teknologi nuklear dalam pemuziuman, satu bidang yang mungkin asing dalam pemikiran umum.
“Tema sambutan tahun ini ialah ‘Masa Depan Muzium dalam Komuniti yang Berubah Pantas’. Jadi kita tunjukkan bagaimana sains nuklear membantu konservasi artifak,” katanya.
Teknologi seperti pengimejan radiografi neutron, sinar-X, pembelauan sinar-X (XRD), pendafluor sinar-X (XRF) dan pensterilan manuskrip nadir menggunakan sinaran gama telah digunakan bagi tujuan pemeliharaan artifak tanpa merosakkan strukturnya.
“Kaedah ini membolehkan kita melihat struktur dalaman artifak tanpa memusnahkannya. Kita boleh kenal pasti tahap kerosakan dan bahan asal dengan lebih tepat,” jelasnya.
Mikroorganisma seperti kulat dan bakteria dalam buku lama juga boleh dibasmi menggunakan sinaran gamma tanpa mengganggu kandungan asal buku.
Kesedaran masyarakat terhadap pentingnya konservasi artifak amat penting dalam memelihara identiti sejarah dan ketamadunan negara.
“Artifak bukan sekadar objek. Ia adalah warisan dan bukti kewujudan sejarah kita. Jika tidak dipelihara secara saintifik, kita akan kehilangan nilai dan ketulenan objek itu,” jelas Dr Hishamuddin.
Kaedah pencirian ketulenan dan asal usul artifak menggunakan teknologi nuklear juga membantu mengelakkan penipuan dalam transaksi barangan sejarah bernilai tinggi.
Beliau menyifatkan teknologi nuklear sebagai satu jambatan antara sains moden dan penghargaan terhadap warisan budaya.
“Masyarakat akan lebih menghargai sains dan teknologi serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terlibat dalam bidang penyelidikan, pemuziuman dan warisan budaya,” tambahnya.
Sebagaimana ditegaskan oleh Dr Hishamuddin, teknologi nuklear di Malaysia berlandaskan kepada prinsip aman, selamat dan bertanggungjawab, selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030.
“Nuklear bukan untuk bom. Ia untuk rakyat,” tegas beliau mengakhiri wawancara. – HARAKAHDAILY 29/7/2025











