
KOTA BHARU: Kelas Hafazan Kanak-Kanak dan Kelas Talaqqi al-Quran Bersanad diperkenalkan untuk melahirkan generasi celik al-Quran.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, pendidikan untuk kanak-kanak, terutama al-Quran, sewajarnya bermula sejak awal usia.
Katanya, program ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan negeri dalam melahirkan generasi celik al-Quran.
“Penganjuran kelas-kelas ini bukan sahaja sebagai kesinambungan usaha melahirkan generasi celik al-Quran, bahkan memartabatkan Kelantan sebagai ‘Bandar Raya Islam’ yang menitikberatkan pendidikan agama sejak di peringkat awal usia,” ujar beliau.
Asri berkata demikian ketika merasmikan Kelas Hafazan Kanak-Kanak dan Kelas Talaqqi al-Quran Bersanad di Dewan Saidina Abu Bakar, Kompleks Islam Darul Naim, di sini.
Kelas berkenaan dikendalikan Pusat Taranum al-Quran Negeri Kelantan dengan jumlah pelajar seramai 31 orang berusia antara tujuh hingga 13 tahun.

Manakala seramai 28 peserta dewasa menyertai Kelas Talaqqi al-Quran Bersanad melalui riwayat Hafs dan Syu’bah ‘an ‘Asim.
Menurut beliau lagi, kedua-dua kelas ini telah mula berjalan minggu lalu dan kini dibuka kepada pendaftaran baharu melalui laman rasmi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan, Dato’ Ibrahim Deris dan Timbalan Mufti Negeri, Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohamad serta Pengarah JAHEAIK, Dr Hasnan Ramli.
Juga Pengerusi Pertubuhan Akademi al-Quran Bandaraya Islam, Syeikh Hesham Abdel Bary Mohamed Rageh yang juga Pensyarah Kehormat Pusat Taranum.
Majlis ini turut menjadi medan pertemuan tokoh-tokoh al-Quran negeri dan antarabangsa yang berkongsi visi dalam memperkasa institusi pendidikan Islam negeri Kelantan secara lebih sistematik dan berpandangan jauh. – HARAKAHDAILY 29/7/2025











