Rentas sempadan: Risiko dianiaya litigasi asing

Rushdan Rusmi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 merupakan langkah penting bagi memastikan negara tidak tercicir dalam sistem perundangan global yang mengiktiraf hak pemiutang dan penghutang rentas sempadan.

- Advertisement -

Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) berkata, meskipun ia memberi imej positif bagi menarik pelaburan ke Malaysia, namun ia dilihat memberi kesan ke atas komuniti tempatan di sempadan terutamanya golongan mikro dan pemberi maklumat.

“Melihat dari risiko pada usahawan mikro sempadan, Padang Besar merupakan nadi perdagangan mikro rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand. Ratusan peniaga berurusan saban hari sejak sekian lama.

“Ramai antara mereka menjalankan urusniaga berasaskan kepercayaan dan rangkaian keluarga merentasi sempadan tanpa sebarang perjanjian formal yang dilindungi oleh undang-undang,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tegas beliau, terdapat risiko usahawan kecil terdedah kepada litigasi rentas sempadan yang tidak seimbang susulan pengaplikasian RUU berkenaan, sekali gus melemahkan daya tahan ekonomi golongan tersebut.

Justeru, beliau mencadangkan agar satu pasukan bertindak (task force) ditubuhkan di bawah Jabatan Insolvensi bagi memberi tumpuan kepada pendidikan perundangan dan bantuan dokumentasi kepada komuniti mikro rentas sempadan.

“Melihat kepada risiko pengubahan wang haram dan penyeludupan aset seperti yang terkandung di dalam jadual RUU, pengiktirafan boleh ditolak jika bertentangan dengan undang-undang seperti Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau jika melibatkan aset berisiko.

“Padang Besar telah lama berdepan dengan cabaran penyeludupan pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram seperti yang saya tegaskan sebelum ini dalam perbahasan Dasar Ekonomi Sempadan Nasional,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2025

- Advertisement -