RUU perlu bela nasib nelayan, bukan menghukum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak kementerian yang terlibat perlu menjelaskan dengan lebih tuntas segala perincian pelaksanaan serta mekanisme sokongan kepada komuniti nelayan sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan (Pindaan) 2025 diluluskan.

- Advertisement -

Hassan Saad (PN-Baling) berkata, undang-undang itu perlu dibina dengan pendekatan seimbang bagi pemeliharaan keadilan dan sosial, serta tidak mengabaikan rakyat yang bergantung hidup terhadap aktiviti berkenaan.

“Usaha ini memperkukuhkan aspek penguatkuasaan dan pemeliharaan laut adalah satu langkah yang diperlukan. Namun, kita juga perlu berhati-hati agar ia tidak menjadi satu undang-undang yang menghukum rakyat marhaen.

“Sedangkan masalah utama tidak ditangani daripada akar umbinya. Meningkatkan penalti adalah langkah yang mudah, tetapi yang lebih mencabar adalah memastikan penguatkuasaan dilakukan secara adil, konsisten dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Hassan turut membangkitkan persoalan sama ada agensi penguat kuasa mempunyai peralatan, tenaga kerja dan keupayaan yang mencukupi untuk melaksanakan undang-undang tersebut secara menyeluruh.

“Jangan sampai nelayan kecil yang tertinggal sejengkal, masuk ke zon larangan pula ditahan. Sedangkan pencerobohan laut terlepas begitu sahaja. Banyak kawasan yang bakal diwartakan sebagai taman laut dan zon larangan menangkap ikan.

“Berada di dalam lokasi yang selama ini menjadi sumber rezeki masyarakat nelayan. Jika kawasan ini ditutup, apa ganti rugi atau bantuan pendapatan yang disediakan kepada mereka?” soalnya.

Tambah beliau, langkah melarang penjualan penyu hidup adalah satu langkah yang tepat, namun aspek undang semata-mata tidak mencukupi dan memerlukan kerjasama rapat antara pelbagai pihak bagi menjayakan usaha berkenaan.

“Pendidikan masyarakat juga penting agar rakyat tidak terlibat secara tidak sedar dalam rantaian pemerdagangan hidup marin terancam,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2025

- Advertisement -