Akta Perikanan perlu lindungi sungai, nelayan terjejas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mencadangkan supaya pindaan Akta Perikanan 1985 dimanfaatkan untuk menangani isu pencemaran sungai yang menjejaskan sumber pendapatan nelayan.

Beliau menarik perhatian terhadap tiga seksyen baharu dalam pindaan akta berkenaan, iaitu Seksyen 10A, Seksyen 41 dan Seksyen 56C yang disifatkan mampu menambah baik aspek penguatkuasaan.

“Seksyen 56C memberi kuasa kepada Ketua Pengarah untuk melarang aktiviti perikanan di kawasan tercemar. Namun, saya memohon penjelasan lanjut mengenai definisi kawasan tercemar kerana pencemaran sungai di seluruh negara menyebabkan nelayan kehilangan punca pendapatan.

“Sebagai contoh, Sungai Kereh (Tasek Gelugor, Pulau Pinang) bukan kawasan industri perikanan utama tetapi pernah menjadi tumpuan nelayan kecil. Kini, ia tercemar dengan najis khinzir sejak lebih 40 tahun lalu.

“Bolehkah Akta Perikanan digunakan sebagai medium tindakan terhadap pencemaran seperti ini?”ujarnya semasa mengambil bahagian berucap pada perbahasan Rang Undang-undang Perikanan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau turut berharap pindaan berkenaan dapat membantu menjaga kualiti sungai yang masih baik, memandangkan air sungai akhirnya mengalir ke laut.

Mengulas Seksyen 41 yang berkaitan pengisytiharan taman dan rizab laut, beliau mempersoalkan sama ada wujud jawatankuasa pemantau terhadap kuasa yang diberikan kepada Menteri untuk mengisytihar atau membatalkan kawasan tersebut.

“Kita harus mengambil iktibar daripada isu tambakan laut di Pulau Pinang yang memberi kesan buruk kepada pesisir pantai dan nelayan. Projek Penang South Island dilaporkan menjejaskan kualiti air dan kawasan ikan bertelur.

- Advertisement -

“NGO dan nelayan juga pernah mencabar projek ini seperti dilaporkan akhbar Metro pada 14 Februari 2024,” ujarnya.

Beliau mencadangkan kawasan terjejas itu digazetkan sebagai kawasan simpan perikanan seperti kawasan hutan simpan, termasuk Pantai Kerachut dan Teluk Bahang.

“Justeru perkara ini harus dijadikan iktibar kerana terjejas bukan sahaja industri perikanan tapi turut melibatkan kehidupan laut yang lain dan pusat-pusat perkelahan di Pantai Pokok Asam,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau membangkitkan isu ketiadaan tanah milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Parlimen Kepala Batas dan mencadangkan agar kerajaan melaksanakan projek khas perumahan nelayan di Kuala Muda, Penaga.

“Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) seperti di Besut, Sik dan Kampung Kelulut wajar dilaksanakan di Kepala Batas bagi membantu nelayan, ibu tunggal dan warga emas,” katanya.

Beliau menyokong pindaan Akta Perikanan 1985 yang disifatkan relevan dengan perkembangan teknologi semasa, termasuk penggunaan bot gentian kaca menggantikan kayu yang memerlukan semakan semula terhadap garis panduan sedia ada. – HARAKAHDAILY 29/7/2025

- Advertisement -