Penguatkuasaan laut perlu dikoordinasi selaras

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) menggesa agar koordinasi antara agensi penguatkuasaan di perairan negara diperkemas bagi mengelakkan pertindihan kuasa serta ketidakjelasan dalam tindakan terhadap penceroboh kawasan perairan.

- Advertisement -

Menurut beliau, seperti mana di darat terdapat beberapa agensi seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kadangkala menjalankan operasi tanpa penyelarasan, situasi sama juga berlaku di laut yang melibatkan Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin.

“Saya dimaklumkan dulu-dulu saya tak tahu sekarang sudah berubah bahawa pembahagian yang jelas tiga batu nautika dari pantai adalah di bawah kuasa Perikanan, manakala laut lepas dikendalikan oleh APMM dan Polis Marin sebab itu memerlukan kapal yang besar.

“Saya dimaklumkan oleh nelayan di Perlis bahawa ada kes apabila mereka ditahan oleh APMM dalam kawasan tiga batu nautika dari pantai,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, terdapat kekeliruan apabila agensi seperti APMM mengejar penceroboh dari laut lepas sehingga memasuki kawasan yang sepatutnya dikawal oleh agensi lain.

“Jadi kita minta supaya ada koordinasi supaya mereka yang melanggar kawasan dan sebagainya penguatkuasaan itu mesti didasarkan kepada apa yang saya sebutkan.

“Kadang-kadang apabila APMM bagitahu mereka bila mengejar mungkin termasuk dalam kawasan tiga batu nautika, saya ingat hak yang ni kita serah pada Perikanan, yang laut lepas kita serah kepada APMM dan juga Polis Marin,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2025

- Advertisement -