
KUALA LUMPUR: “Bayangkan nelayan berumur 40-an, ayah muda yang bertarung membesarkan anak-anak di rumah tiba-tiba lesennya ditarik kerana tidak disengajakan,” kata Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perbahasan padat dan menyentuh realiti lapangan, beliau mengemukakan tiga isu besar mewakili suara nelayan pantai yang menurutnya berhadapan tekanan berganda akibat pelbagai cabaran dasar, ketidaktentuan hasil laut, dan gangguan bot pukat tunda di zon larangan.
Merujuk kepada Fasal 47 yang meminda Seksyen 61 Akta Perikanan 1985, beliau mencadangkan agar Ketua Pengarah Perikanan turut diberi kuasa untuk mengisytiharkan zon pelindungan habitat marin seperti kawasan tukun tiruan, rumah ikan dan unjam di mana kini masih belum diwartakan secara rasmi, termasuk di perairan Kuala Kedah.
“Saya ingin mencadangkan supaya pihak jabatan perikanan mengadakan peruntukan pelampung dan penanda navigasi kekal supaya kawasan rumah ikan tersebut jelas dan terhindar dari gangguan vesel pukat tunda.
“Saya berpandangan bahawa aktiviti tangkapan berlebihan ‘overfishing’ di zone C3 akan menjejaskan kelestarian serta merosakkan ekosistem habitat marin,” tegasnya.
Beliau turut mendedahkan negara mengalami kerugian sebanyak RM823.8 juta dalam tempoh 2020 hingga 2024 akibat 515 kes pencerobohan yang menjejaskan hasil nelayan tempatan.
“Saya ingin bertanya berapakah jumlah unjang dan tukun tiruan yang dilabuhkan khasnya di sekitar pesisir pantai Kuala Kedah dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. Terutamanya bagi kemudahan nelayan kecil dari Kuala Sala, Kuala Terbengau dan dari Kuala Kedah sendiri.
“Apakah tindakan segera yang diambil oleh pihak berkenaan untuk meningkatkan jumlah pendaratan ikan serta kerang-kerangan di Kuala Kedah,” soal beliau.
Meneliti kemasukan subseksyen baharu 13A dalam Fasal 13B berkaitan larangan permohonan semula lesen selama lima tahun selepas pembatalan, beliau menyifatkan tempoh itu terlalu lama dan tidak adil buat nelayan kampung yang bergantung sepenuhnya kepada laut.
“Kadangkala mereka tidak turun ke laut kerana ribut, ada ketika hasil tiada. Saya mencadangkan supaya syor tidak dibenarkan untuk membuat apa-apa permohonan bagi lesen baharu dalam tempoh 5 tahun diturunkan kepada 3 tahun atau ke satu tempoh yang munasabah,” ujarnya.
Beliau turut membangkitkan keperluan mewujudkan lesen sementara kepada nelayan terlibat serta sistem peringatan awal sebelum tamat tempoh lesen bagi mengelak pembatalan secara tiba-tiba.
“Saya juga ingin mendapatkan maklumat tentang mekanisme penyampai notis peringatan kepada nelayan sebelum tamat tempoh kebenaran penyambungan lesen diberikan, berapakah jumlah statistik penarikan lesen ke atas nelayan pantai serta jelaskan status proses pemutihan pemegang lesen seluruh negara,” tegas beliau.
Menyentuh Fasal 7 yang memberi kuasa penuh kepada Ketua Pengarah Perikanan, beliau mencadangkan supaya diwujudkan satu jawatankuasa penasihat bagi menasihati Ketua Pengarah dalam hal-hal strategik dan dasar perikanan.
“Ini tidak bermaksud untuk membataskan kuasa atau tanggungjawab ketua pengarah tetapi berperanan sebagai pemudah cara atau medan mempraktikkan konsep-konsep musyawarah untuk mendapatkan input serta pandangan sebelum sesuatu keputusan atau rancangan perikanan dirumus dan diputuskan,” jelasnya.
Katanya, jawatankuasa ini penting bagi menyelaras input pelbagai agensi seperti APMM, LKIM, JAS dan JPS serta mewakili suara nelayan dalam pelaksanaan dasar seperti zon larangan, pelesenan, dan pengagihan subsidi.
Dr Ahmad Fakhruddin menutup perbahasan dengan menegaskan tiga isu utama yang dibawa iaitu keperluan mewartakan zon rumah ikan dan pelindungan habitat (Fasal 47), mengkaji semula tempoh larangan lesen (Fasal 13B), serta penubuhan jawatankuasa penasihat (Fasal 7) sebagai langkah memperkasakan pengurusan perikanan negara. – HARAKAHDAILY 29/7/2025











