Pindaan RUU Perikanan 2025: Banyak lompang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Perikanan (Pindaan) 2025 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini dipersoalkan kelompangannya apabila beberapa fasal baharu tidak memperincikan bentuk hukuman terhadap pelanggaran undang-undang.

- Advertisement -

Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) merujuk Fasal 9 dalam pindaan ke atas Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan menegaskan wujud seksyen baharu iaitu Seksyen 6A(1) memperuntukkan keperluan menyelenggara rekod, data atau maklumat berkaitan perikanan seperti diarahkan Ketua Pengarah Perikanan.

Namun ujarnya, dalam Seksyen 6A(2), walaupun disebut pelanggaran peraturan sebagai satu kesalahan, tetapi tiada sebarang hukuman dinyatakan.

“Saya dapati seksyen-seksyen seperti 10A(2), 13A(2), 14(1B)(ii)(AA), 15C(3) dan 16C(5) juga menyatakan perbuatan itu adalah satu kesalahan, tetapi tidak disebut apakah bentuk hukuman.

“Lazimnya dalam mana-mana akta yang dipinda akan dinyatakan bentuk hukuman seperti denda atau penjara atau kedua-duanya. Tetapi ini tidak ada,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut.

Sebaliknya tambah beliau, hanya pada Seksyen 25(b) dan 27(b) terdapat pindaan hukuman denda daripada RM20,000 kepada RM100,000 dan RM50,000 kepada RM250,000.

Menurutnya, ini menimbulkan persoalan sama ada berlaku kecuaian dalam penyediaan draf atau satu kelaziman baharu yang mengelirukan.

“Saya pohon penjelasan, adakah ini kesilapan cetakan dalam Blue Bill atau memang niat asalnya begitu?” persoal beliau.

Dalam perbahasan sama, Dr Abd Ghani turut mengangkat isu global yang juga menjejaskan negara ini penangkapan ikan secara berlebihan atau ‘overfishing’.

“PBB dalam laporan 2020 mendedahkan hampir 95 peratus stok ikan global kini berdepan penangkapan berlebihan atau berada pada tahap maksima. Negara kita kini berada di kedudukan keenam daripada 20 negara tertinggi dalam industri perikanan tangkapan,” ujarnya.

Katanya, Malaysia merekodkan tangkapan sekitar satu juta tan makanan laut setahun dengan 40,000 tan daripadanya disimpan sebagai bekalan sejuk beku, namun tanpa pengawalan yang ketat, spesies sasaran mungkin lenyap menjelang tahun 2048.

Beliau meminta penjelasan apakah langkah segera kerajaan atau Jabatan Perikanan Malaysia bagi mengawal kapasiti tangkapan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) ASEAN bagi memastikan kelestarian sumber laut.

Tambah membimbangkan, menurut beliau, ialah kegiatan nelayan asing dari Vietnam, Thailand dan Indonesia yang menceroboh perairan negara dan menangkap ikan secara haram, sehingga menjejaskan pendapatan nelayan tempatan serta mengancam ekosistem.

“Kita masih guna kaedah rondaan fizikal yang tidak mencukupi. Negara perlukan sistem pemantauan automatik menyeluruh seperti Tanda Pesan Berubah-rubah (VMS), Sistem Pengenalan Automatik (AIS), radar dan imej satelit,” katanya.

Dr Abd Ghani menyelar ketiadaan sistem amaran awal yang menyebabkan agensi penguatkuasaan hanya bertindak selepas pencerobohan berlaku.

Tambahnya, kelemahan sistem kawalan berpusat di antara agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyebabkan data tidak diselaras dan tindakan menjadi lambat.

“Saya ingin tahu, apakah langkah drastik kerajaan untuk membendung kehadiran nelayan asing? Kedua, adakah berlaku pemberian rasuah oleh nelayan asing kepada penguat kuasa? Jika ya, apakah tindakan kerajaan terhadap agensi yang terlibat dalam rasuah ini?” soalnya.

Dr Abd Ghani turut membawa suara nelayan di kawasannya, khususnya di Kuala Tunjang, Jerlun yang berhadapan pencerobohan dari vesel Zon B dan C ke kawasan tangkapan Zon A.

“Saya menerima rungutan dari Idris Mat Zain, Ketua Jaringan Perikanan Kuala Tunjang, bahawa sering berlaku pencerobohan bot Zon B dan C ke kawasan nelayan darat. Mereka ini hanya guna sampan, sedangkan yang masuk itu bot besar bawa pukat tunda dan jerut,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan, Zon A ialah kawasan pesisir pantai, manakala Zon B bermula dari lima batu nautika hingga ke tengah laut dan Zon C pula bermula dari lapan batu nautika.

“Kejadian ini bukan baru. Pernah nelayan dari Kuala Jerlun kejar bot penceroboh sampai ke Kuala Kedah. Tekong bot ada yang dari Thailand, tapi tauke bot warga tempatan, bukan Melayu,” katanya.

Ujarnya, konflik antara nelayan pantai dan nelayan laut dalam terus berlaku akibat ketidakhormatan terhadap zon tangkapan yang ditetapkan.

Mengulas Seksyen 13A berkaitan lesen vesel, Dr Abd Ghani mempersoal dasar pembekuan lesen sampan yang menyebabkan ramai nelayan darat tidak layak menerima elaun sara hidup RM250 sebulan yang hanya diberikan kepada nelayan berlesen.

“Saya terima aduan dari Zainuddin Ismail, Ketua Komuniti Nelayan Kuala Jerlun. Mereka tidak dapat mohon lesen kerana permohonan dibekukan. Maka mereka juga tak layak terima elaun,” ujarnya.

Beliau mendesak agar kerajaan membuka kembali permohonan lesen untuk nelayan darat atau pantai bagi membolehkan mereka terus mencari rezeki dan menerima bantuan sewajarnya.

“Saya minta kerajaan beri perhatian kepada isu ini. Nelayan kita bukan saja perlu dilindungi dari pencerobohan luar, tetapi juga dari ketidakadilan dalam dasar yang sedia ada,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 29/7/2025

- Advertisement -