
KUALA LUMPUR: Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh), menggesa kerajaan menilai semula pelaksanaan projek-projek mega penambakan laut yang dilihat memberi kesan serius terhadap sektor perikanan negara.
Beliau mengakui kerajaan telah mengemukakan justifikasi terhadap pindaan menyeluruh Akta Perikanan 1985, termasuk isu penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU).
Namun tegasnya, kemerosotan stok sumber perikanan, sekuriti makanan dan perubahan iklim, namun terdapat satu lagi faktor besar yang gagal diberi perhatian sewajarnya.
“Perkara besar yang gagal kita sentuh secara jujur dalam perbahasan ini iaitu kesan projek mega penambakan laut khususnya melibatkan pembinaan pulau buatan seperti di Pulau Pinang, Johor dan Melaka,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas beliau, projek-projek terbabit bukan sahaja tidak mendesak, malah wujud alternatif lain yang boleh diteroka, namun tetap diteruskan walaupun diketahui menjejaskan sumber perikanan negara.
Mengulas lanjut, Muhammad Fawwaz berkata, menurut data Jabatan Perikanan Malaysia projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSI) misalnya, dijangka mengancam sekurang-kurangnya 87 spesies marin termasuk ikan, ketam dan udang.
“Penambakan turut menjejaskan kualiti air payau di kawasan seperti Sungai Udang, Tanjung Piai, Endau, Kuala Kurau, hatta hutan bakau di Kuala Gula dan Kuala Sepetang yang menyumbang hampir 50 peratus bekalan ikan di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
Beliau turut memetik kajian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Sahabat Alam Malaysia dan JARING yang menyatakan penambakan laut mengubah struktur sedimen, mencemarkan laut, menghancurkan habitat dasar laut dan mengganggu rantai makanan serta tempat pembiakan ikan dan udang.
“Akibatnya ribuan nelayan terjejas dengan potensi kehilangan hasil tangkapan sebesar 51,000 tan metrik setahun, dianggarkan bernilai RM525 juta,” katanya.
Selain itu, Muhammad Fawwaz berkata, gangguan terhadap 511 ladang akuakultur turut memberi kesan terhadap pengeluaran tahunan berjumlah 54,742 tan metrik, bernilai RM1.67 bilion setahun.
Beliau juga membangkitkan isu sumber pasir bagi projek penambakan yang diambil dari pesisir pantai Perak, di mana turut mengancam habitat ikan di kawasan tersebut.
“Nelayan tempatan di Jelutong dan Batu Uban juga mengadu terpaksa menangkap ikan lebih jauh dari pantai akibat mendapan lumpur dan penurunan hasil tangkapan seperti ikan kembung,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan agar mengambil pendekatan menyeluruh dan tidak bersifat selektif dalam usaha melindungi sumber perikanan negara.
“Sekiranya kita benar-benar nak melindungi sumber perikanan negara projek-projek penambahan laut yang merosakkan perikanan negara kita ini perlu dinilai semula di masa akan datang ataupun dihentikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2025











