
KUALA LUMPUR: Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mencadangkan supaya pelaksanaan Seksyen 6A dalam pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan dibuat secara berfasa dan berpandukan garis panduan yang jelas bagi mengelakkan beban birokrasi serta kos tambahan kepada komuniti nelayan.
Menurut beliau, pindaan di bawah Fasal 9 itu memperkenalkan Seksyen 6A yang memberi kuasa baharu kepada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan untuk mengarahkan mana-mana pihak menyelenggara dan menyerahkan rekod, data atau maklumat berkaitan aktiviti perikanan.
“Tujuan seksyen ini baik iaitu bagi menyokong perancangan dan pengurusan perikanan yang berasaskan data. Persoalannya, adakah kementerian mempunyai pelan yang jelas untuk melaksanakan pengumpulan data ini?
“Adakah sistem teknologi seperti ‘e-lockbook’ atau aplikasi mudah alih telah disiapkan supaya nelayan dapat melaporkan data tangkapan dengan mudah? Dan adakah kementerian akan membantu nelayan dari segi latihan ICT atau subsidi peralatan supaya pematuhan seksyen 6A ini tidak membebankan?” soalnya.
Belia berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Ahmad Marzuk turut mencadangkan supaya kerajaan menetapkan tempoh peralihan munasabah sebelum penguatkuasaan seksyen tersebut, termasuk penyediaan modul latihan kepada nelayan mengenai kaedah pelaporan data yang betul.
“Saya mencadangkan supaya kerajaan perlu menyediakan garis panduan terperinci pelaksanaan seksyen 6A sebelum
dikuatkuasakan.
“Letakkan satu tempoh peralihan dan modul latihan kepada nelayan mengenai rekod data dan mungkin insentif kepada nelayan yang patuh melaporkan data.
“Langkah ini penting agar niat baik pengumpulan data tidak menjadi beban kos dan birokrasi yang melampau kepada komuniti nelayan yang kita tahu rata-ratanya di kalangan kumpulan B40,” katanya. – *HARAKAHDAILY 29/8/2025*











