Perlindungan rakyat selaku pemiutang perlu dijamin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) menegaskan bahawa Rang Undang-Undang Insolvensi Rentas Sempadan 2025 perlu diperkukuh dengan mekanisme perlindungan pemiutang tempatan serta institusi pembangunan strategik negara bagi mengelakkan kesan negatif daripada prosiding asing.

- Advertisement -

Ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat hari ini, beliau menyambut baik usaha kerajaan menyelaraskan undang-undang dengan Model Law yang digariskan oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL), namun menekankan beberapa kebimbangan utama.

“Sebagai contoh, sekiranya sebuah syarikat dari United Kingdom yang memiliki aset di Malaysia mengalami insolvensi, pentadbir asing boleh memohon pengiktirafan di mahkamah Malaysia. Jadi, adakah pejabat insolvensi kita telah diberi latihan dan panduan standard untuk menangani situasi?

“Saya memberi contoh situasi sekiranya sebuah syarikat daripada United Kingdom yang memiliki aset di Malaysia mengalami insolvensi, pentadbir asing boleh memohon pengiktirafan proses ini di mahkamah Malaysia untuk menyelaraskan pelan penyelamatan global.

“Jadi persoalannya jika situasi ini berlaku, adakah Malaysia telah menyediakan panduan amalan ‘standard’ ataupun ‘best practice’
dengan izin, dan latihan kepada pejabat insolvensi tempatan agar mampu bekerjasama dengan wakil asing dengan tepat?” soalnya.

Menurut Ahmad Tarmizi, laporan oleh Association of Development Finance Institutions of Malaysia (ADFIM) turut memberi amaran bahawa institusi kewangan pembangunan berisiko diketepikan jika prosiding asing diberi keutamaan.

Beliau menyenaraikan Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Pembangunan Malaysia, Agrobank, Malaysian Small and Medium (SME) Bank dan agensi ekonomi seperti  Rubber Industry Smallholders Development Authority (RISDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

“Termasuklah potensi kawalan aset strategi oleh entiti asing tanpa kelulusan Bank Negara ataupun Suruhanjaya Sekuriti. Kenapa tidak ada ‘closer explicit’ ataupun kontrak yang jelas untuk hak keutamaan pemiutang nasional atau keperluan kelulusan Bank Negara sebelum pengiktirafan prosiding luar dicapai?” soalnya lagi.

Beliau turut mempersoalkan pengecualian bank dan institusi kewangan daripada skop RUU sedangkan entiti tersebut juga beroperasi merentas sempadan dan mungkin terlibat dalam kes insolvensi rentas negara.

“Dari segi skop penerapan RUU ini dan pengecualian, RUU ini dikecualikan daripada menyentuh insolvensi individu, bank, institusi kewangan atau rakan kongsi, liabiliti terhad di bawah di bawah Akta LLP 2011.

“Bermakna prosiding rentas sempadan menumpu kepada entiti komersial korporat sahaja jadi persoalannya adakah wajar tidak memasukkan bank dan institusi kewangan dalam RUU ini?” soal beliau.

Di samping itu, beliau membangkitkan isu kos pelaksanaan yang tidak diperincikan dalam draf RUU, termasuk kemungkinan keperluan melantik pegawai mahkamah antarabangsa atau membayar khidmat perunding asing.

“Sebagai contoh kerajaan mengakui bahawa pelaksanaan RUU ini akan membawa kos tambahan tapi jumlahnya belum ditentukan dalam naskah biru kita ini.

“Adakah kementerian dapat menyediakan anggaran kos operasi tahunan serta sumber tambahan yang diperlukan untuk pelaksanaan efektif bagi RUU ini?” tegas beliau.

Mengulas mengenai klausa 29 berkaitan penyelarasan prosiding serentak antara negara, beliau turut menegaskan pentingnya satu mekanisme yang jelas bagi mengelakkan konflik keutamaan pembayaran atau tuntutan berganda (double claim) oleh pemiutang asing dan tempatan.

“Sebagai rumusannya RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 ini adalah langkah positif ke arah menguatkuasakan rangka kerja antarabangsa tapi perlu diperkukuhkan dari segi perlindungan pemiutang nasional.

“Juga kos dan mekanisme koordinasi supaya ia bukan sahaja memudahkan intigasi rentas sempadan tetapi juga melindungi kepentingan rakyat dan ekonomi negara,” ujarnya sebagai penutup. – HARAKAHDAILY 29/7/2025

- Advertisement -