Jangan guna untuk lindungi pihak berkepentingan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi penjelasan terhadap keputusan memberi kuasa Mahkamah untuk menolak pengiktirafan prosiding insolvensi asing jika dilihat bercanggah dengan dasar awam di negara ini.

- Advertisement -

Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berkata, persoalan tersebut terkandung dalam fasal tujuh Rang Undang-undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 yang dibahas oleh wakil rakyat di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, takrifan kurang jelas dalam pindaan itu menjadi kebimbangan meskipun dibuat berpandukan prinsip Undang-Undang Seragam Mengenai Insolvensi Rentas Sempadan (MLCBI) diterima pakai secara global.

“Apakah skop dan batasan tafsiran dasar awam yang dimaksudkan di bawah fasal ini, bagaimana kerajaan memastikan tafsiran ini tidak digunakan tujuan yang kabur atau lebih buruk melindungi kepentingan pihak tertentu.

“Bagaimana ini tidak menjadi penjualan atau pemindahan aset strategik negara kepada entiti asing khususnya dalam situasi pengiktirafan prosiding insolvensi luar mungkin bertentangan dengan dasar kita,” katanya.

Berucap pada sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 di Dewan Rakyat di sini hari ini, Nurul Amin turut membangkit persoalan timbal balik ‘reciprocity’ dalam perbahasan RUU itu.

Beliau mempersoalkan, apakah jaminan negara asing supaya tidak menolak prosiding Mahkamah dengan alasan dasar awam, sekiranya Malaysia secara mudah menolak pengiktirafan prosiding asing dengan sebab yang sama.

Menurutnya situasi tersebut boleh mencemarkan integriti dan ketelusan sistem perundangan negara selain menjejaskan tahap keyakinan dan kepercayaan syarikat asing terhadap institusi kehakiman tempatan.

Beliau juga memetik Fasal 21 Perlindungan Kepentingan Tempatan dan jadual sekatan dalam RUU itu, membolehkan Mahkamah mengiktiraf prosiding insolvensi asing dan membenarkan pemindahan aset penghutang ke luar negara.

Namun sekiranya tidak dikawal dengan ketat kata beliau, menyebabkan aset syarikat bernilai di Malaysia boleh dipindahkan keluar negara begitu sahaja tanpa sebarang pampasan yang adil kepada pemiutang tempatan.

“Kita juga bimbang kesalahan langsung peniaga kecil yang menjadi pemiutang tidak bercagar, bimbang kesan juga kepada pekerja tempatan hilang pekerjaan tanpa rundingan dan pampasan tanpa kawalan Mahkamah kita nanti.

“Saya gesa agar kuasa Mahkamah dan kuasa menteri diperkemaskan lagi pengubalan regulasi tambah nilai, ambang pampasan dan garis panduan lebih ketat untuk kelulusan prosiding asing dan pemindahan aset keluar,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2025

- Advertisement -